SUKAN > BERITA

HAFIZH SYAHRIN MENANG ANUGERAH PELUMBA ANTARABANGSA TERBAIK MAM 2024

26/02/2025 12:52 AM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Pelumba JDT Racing Team Hafizh Syahrin dinobatkan sebagai Pelumba Antarabangsa Terbaik manakala Qabil Irfan Azlan menerima anugerah Pelumba Muda Terbaik dan Azlan Shah Kamaruzaman diiktiraf sebagai Ikon Sukan Permotoran Malaysia.

Malam Anugerah MAM 2024 kembali dengan penuh gemilang selepas berehat selama enam tahun untuk meraikan pencapaian pelumba terbaik negara negara termasuk Hafizh Syahrin Abdullah, Qabil Irfan Azlan dan Azlan Shah Kamaruzaman yang diberi penghormatan dengan anugerah berprestij.

Selain itu, beberapa kategori lain turut dipertandingkan termasuk anugerah baharu yang mengiktiraf sumbangan luar biasa atlet, pasukan dan organisasi Malaysia dalam sukan permotoran tempatan dan antarabangsa.

Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) Tan Sri Mokhzani Mahathir dalam ucapannya menegaskan penganjuran semula acara itu mencerminkan dedikasi mereka untuk mengiktiraf kerja keras serta pencapaian dalam sukan permotoran Malaysia.

“Ia bukan sekadar tentang kemenangan tetapi juga membina masa depan yang kukuh dan mampan untuk sukan ini. Malam ini, kami meraikan mereka yang telah mengangkat sukan permotoran Malaysia ke tahap lebih tinggi. Matlamat kami adalah menjadikan acara ini sebagai acara tahunan dalam kalendar sukan permotoran,” katanya pada majlis yang berlangsung di M Resort & Hotel di Kuala Lumpur di sini malam ini.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, sekali gus menegaskan komitmen kerajaan terhadap pembangunan industri sukan permotoran Malaysia.

Tiga tokoh berpengaruh dalam arena permotoran negara turut disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Sukan Motor Malaysia iaitu Datuk Ahmad Mustafa yang memainkan peranan penting dalam menjadikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai lokasi perlumbaan bertaraf dunia.

Selain itu, Barry Leong Foo Hin, tokoh yang mencorakkan karier pelumba terkenal seperti Syahrol Yuzy Ahmad Zaini, Hafizh Syahrin dan turut disenaraikan 'Raja Kapcai’, Wazi Abdul Hamid.

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada Allahyarham Tan Sri Basir Ismail bagi menghargai sumbangan besar membawa Formula 1 Grand Prix Malaysia ke SIC dan meletakkan Malaysia di peta permotoran dunia.

Para pemenangan anugerah menerima trofi unilk yang diperbuat daripada kayu tebus guna oleh The Green Factory, simbol kepada kelestarian dalam sukan permotoran.

 

Berikut senarai pemenang anugerah MAM 2024

  • Pemandu Antarabangsa Terbaik -  Amirul Taufek
  • Pemandu Kebangsaan Terbaik -  Hayden Haikal
  • Pemandu Muda Terbaik - Katrina Ee Wing Thung
  • Pemandu Wanita Terbaik - Ng Aik Sha
  • Pasukan Pacuan 4 Roda Terbaik - Wing Hin Motorsports
  • Pelumba Antarabangsa Terbaik - Hafizh Syahrin Abdullah
  • Peserta Sukan E-Motor Terbaik - Nabil Nor Azlan
  • -- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan