BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 AM > BERITA

Pertingkat Kapasiti ASEAN Hadapi Ancaman Keselamatan Siber Antara Fokus ADMM, ADSOM

26/02/2025 06:30 PM

GEORGE TOWN, 26 Feb (Bernama) -- Mempertingkatkan kapasiti dan keupayaan negara ASEAN dalam menghadapi ancaman keselamatan siber antara lima perkara utama akan diangkat pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan Mesyuarat Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan ASEAN (ADSOM) pada November ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia merupakan keberhasilan Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) hari ini, yang juga bersetuju untuk membincangkan mengenai penerokaan kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertahanan.

Beliau berkata keberhasilan lain yang akan diangkat ke kedua-dua mesyuarat terbabit tahun ini ialah usaha memperkukuh penyelarasan serta kerjasama awam-tentera dalam pengurusan bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR).

“Kita juga menambah baik kerjasama industri pertahanan dalam kalangan negara ASEAN bagi memacu inovasi teknologi dan pembangunan kapasiti serantau.

“Antara yang disampaikan ialah keperluan untuk tingkatkan hubungan rakyat dengan rakyat dan dalam konteks ini, kita akan adakan satu bengkel berkaitan ADMM dan ADMM-Plus,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Permukiman ADMM di Batu Ferringhi di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata permukiman kali ini juga mendukung kebersamaan ASEAN dan memperkukuhkan Pemusatan ASEAN dalam menangani cabaran keselamatan serantau seperti keselamatan maritim sekali gus memastikan rantau ini kekal aman, stabil dan bebas konflik.

Beliau berkata isu berkaitan keselamatan makanan juga dibincangkan kerana ia berupaya mendatangkan cabaran baharu kepada negara serantau jika tidak diberi perhatian oleh blok terbabit.

Semua keutamaan pertahanan yang dikemukakan Malaysia selaku Pengerusi ADMM tahun ini juga, katanya diterima oleh semua anggota negara ASEAN pada permukiman yang dihadiri lebih 150 delegasi dari negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN itu.

Terdahulu, Malaysia menyeru ASEAN untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan kerjasama dalam menghadapi ancaman daripada pelaku bukan negara serta risiko biosekuriti, memperkukuh pertahanan dalam peperangan biologi dan kerjasama memanfaatkan potensi AI dalam aspek pertahanan.

Selain itu, Malaysia juga mencadangkan ASEAN menjaga perairan dan laluan maritim rantau ini daripada kemunculan ancaman hibrid serta menekankan pentingnya mengukuhkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR).

Permukiman ADMM diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan".

Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini, menjadikannya antara kepengerusian paling aktif sejak negara ini memegang peranan yang sama pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan