AM > BERITA

KWSP Umum Dividen 6.30 Peratus Untuk Simpanan Konvensional Dan Shariah Bagi 2024, Jumlah Keseluruhan Agihan RM73.24 Bilion

01/03/2025 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion. dan 6.30 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.

Menurut kenyataan KWSP pada Sabtu, ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk 2024 sebanyak RM73.24 bilion, memberi manfaat kepada lebih 16 juta ahli.

Bagi tahun berakhir 31 Dis, 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan RM74.46 bilion, meningkat 11 peratus daripada RM66.99 bilion yang direkodkan pada 2023.

Jumlah itu adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun tersebut.

KWSP menjelaskan aset pelaburannya mencapai RM1,249.71 bilion, naik 10 peratus daripada RM1,135.82 bilion pada 2023.

“Peningkatan ini didorong oleh pendapatan portfolio yang kukuh serta jumlah caruman bersih sebanyak RM108.22 bilion, naik 11 peratus daripada RM97.56 bilion pada 2023,” tambahnya.

Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali mengatakan kesyukuran dan KWSP berbesar hati mengumumkan kadar dividen yang lebih tinggi bagi 2024, didorong oleh pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh, serta pengurusan portfolio yang berhemah.

“Dengan memanfaatkan perkembangan positif ini, strategi pelaburan kami yang pelbagai membolehkan kami meraih peluang pertumbuhan, mengoptimumkan pulangan, dan memperkukuh jaminan kewangan jangka panjang untuk ahli kami.

“Di peringkat domestik, pelaburan yang kukuh, pasaran buruh yang sihat, dan inflasi yang stabil telah merangsang permintaan, sementara eksport mendapat manfaat daripada kestabilan global dan kitaran pertumbuhan teknologi,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2024, serta pelan strategik yang lebih luas berlandaskan kerangka Ekonomi MADANI telah menarik pelaburan asing dan mengukuhkan ekonomi, selain mewujudkan persekitaran kondusif untuk pertumbuhan mampan.

Menurut KWSP ekonomi Malaysia berkembang 5.1 peratus (2023: 3.6 peratus) dengan pasaran saham menunjukkan kekuatan yang ketara.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak +12.9 peratus (2023: -2.7 peratus) dan memuncak kepada 1,678.80 mata pada Ogos, paras tertinggi sejak Disember 2020.

Prestasi global pula bercampur-campur, mencerminkan keadaan ekonomi yang berbeza mengikut rantau manakala bank pusat di seluruh dunia mengekalkan kadar faedah yang agak tinggi bagi membendung tekanan inflasi daripada tahun-tahun sebelumnya.

Walaupun kadar faedah yang lebih tinggi lazimnya menekan penilaian ekuiti, ia juga mencipta peluang pelaburan dalam pendapatan tetap, memberi kesan bercampur kepada pasaran saham, menurut KWSP.

Mohd Zuki berkata ketidaktentuan pasaran yang dialami pada 2024 menggariskan kepentingan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP dalam mengharungi keadaan ekonomi yang mencabar.

“SAA memainkan peranan penting dalam mengekalkan prestasi portfolio yang stabil, memastikan ketahanan jangka panjang portfolio pelaburan KWSP.

“Dengan mengimbangi risiko dan pulangan, pendekatan ini bukan sahaja melindungi dana daripada ketidaktentuan pasaran, tetapi juga menyokong pembayaran dividen yang mampan untuk ahli kami,” katanya.

 

Pertumbuhan Keahlian KWSP Mencerminkan Liputan yang Semakin Meluas

 

KWSP mencatatkan pertumbuhan keahlian yang kukuh, sejajar dengan pemulihan berterusan dalam pasaran buruh Malaysia apabila pendaftaran ahli baharu mencapai 475,752, menjadikan jumlah keseluruhan ahli KWSP sebanyak 16.22 juta.

Daripada jumlah ini, 8.78 juta adalah ahli aktif1, mewakili 51 peratus daripada 17.32 juta tenaga buruh Malaysia.

Nisbah ahli aktif kepada ahli tidak aktif pada 2024 juga bertambah baik kepada 54:46 manala peningkatan bilangan ahli aktif itu didorong oleh usaha berterusan KWSP dalam memperluas liputan, tambah KWSP.

Mohd Zuki berkata dengan usaha perluasan liputan ini, KWSP bukan sahaja memperkukuh perlindungan sosial dan keselamatan persaraan malah juga meningkatkan keterangkuman dan daya tahan yang lebih tinggi.

Selain itu, Program Outreach KWSP mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam jumlah pencarum sukarela kepada 1,193,396, melonjak 32 peratus daripada 902,213 pada 2023, jelas KWSP.

Program i-Saraan mencatatkan peningkatan yang kukuh pada 2024, dengan penyertaan meningkat sebanyak 38 peratus kepada 529,667 daripada 383,082 pada 2023, sekali gus membolehkan lebih ramai pekerja sektor tidak formal menyimpan untuk persaraan.

Jumlah caruman i-Saraan juga meningkat dengan ketara sebanyak 83 peratus daripada RM1.44 bilion pada 2023 kepada RM2.64 bilion pada 2024, menurut KWSP.

Jumlah keseluruhan caruman pada 2024 meningkat 11 peratus kepada RM108.22 bilion, mencerminkan pertambahan bilangan ahli, pertumbuhan gaji, dan kepercayaan berterusan terhadap KWSP.

KWSP memaklumkan pendaftaran majikan baharu pula berjumlah 71,471, menjadikan jumlah keseluruhan majikan berdaftar sebanyak 614,563.

 

Hala Tuju 2025

 

Menurut KWSP persekitaran pelaburan sedang berdepan risiko yang semakin meningkat akibat faktor geopolitik, tarif dan perang dagang, sekatan bukan tarif, perubahan iklim, inflasi, serta gangguan teknologi.

Perubahan perdagangan global dan peralihan daripada multilateralisme dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dunia dan dasar bank pusat.

Sebaliknya, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, pertumbuhan pelaburan, dan prestasi eksport yang berterusan, jelas dana persaraan itu.

Mohd Zuki menegaskan komitmen KWSP terhadap pertumbuhan mampan yang dipandu oleh SAA KWSP.

Instrumen Pendapatan Tetap akan terus menjadi tunjang utama portfolio bagi memastikan kestabilan, manakala ekuiti domestik akan memainkan peranan penting dalam menjana pulangan.

“Komitmen KWSP adalah untuk memberikan pulangan yang kukuh dan konsisten di samping mengekalkan peranannya sebagai institusi simpanan persaraan yang dipercayai.

Seiring dengan perkembangan ekonomi, kami mengurus risiko dengan teliti bagi memastikan keseimbangan antara keuntungan jangka pendek dan kestabilan jangka panjang, seterusnya membolehkan kami memberikan dividen yang adil dan berdaya saing kepada lebih 16 juta ahli,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan