AM > BERITA

Domain .MY Perkukuh Identiti Malaysia, Bina Kepercayaan Pengguna

04/03/2025 09:21 PM

CYBERJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Penggunaan nama domain .MY bukan sekadar alamat dalam talian, tetapi juga peluang besar untuk memperkukuh identiti negara dan membina kepercayaan pengguna dalam dunia yang semakin digital.

Pengarah dan pemegang saham Chef Direct Sdn Bhd Wan Mohd Afham Wan Aziz berkata dengan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia, pemilihan penggunaan nama domain .MY menjadi standard bagi perniagaan yang ingin menonjolkan jati diri Malaysia serta memperoleh kelebihan daya saing dalam pasaran global.

"Bercakap mengenai kelebihan nama domain .MY, kami membawa nama Malaysia dengan bangga. Sebagai entiti perniagaan yang terlibat dalam pasaran minyak sawit, perkara ini sesuatu yang amat penting.

"Malaysia ialah pengeksport minyak sawit terbesar, jadi apabila kami menggunakan .MY, ia menjadikan kami kelihatan lebih kukuh. Sebagai seorang yang pernah menceburi bidang teknologi maklumat, saya boleh katakan bahawa domain .MY lebih dipercayai dan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen RevUp & Register 2024 di sini hari ini. Chef Direct ialah satu daripada pengeksport utama produk berasaskan minyak sawit dengan pasaran eksport utama di Timur Tengah dan Afrika.

Wan Mohd Afham berkata beliau terkejut apabila usahanya mendaftarkan domain https://www.afham.com.my/ membuahkan hasil setelah memenangi kereta Proton X50 menerusi kempen berkenaan dan menzahirkan penghargaan kepada MYNIC.

Pada Mei 2024, MYNIC, sebuah agensi di bawah Kementerian Digital,  melancarkan kempen RevUp & Register 2024 yang menawarkan hadiah bernilai RM200,000 termasuk sebuah Proton X50 sebagai hadiah utama, untuk memperkasakan pertumbuhan satu daripada aset digital negara, nama domain .MY.

MYNIC menyasarkan lebih ramai rakyat Malaysia khususnya perniagaan mikro, kecil dan sederhana untuk menggunakan nama domain .MY melalui laman web dan e-mel untuk meluaskan operasi perniagaan mereka.

Sementara itu, Pengarah Urusan Vibrant Glass & Aluminium Victor Tan yang memenangi meja permainan video menerusi kempen itu berkata beliau menunggu hampir tiga tahun untuk mendaftar domain https://www.vibrant.com.my.

“Sebelum ini, domain itu digunakan oleh pihak lain, tetapi selepas mereka tidak lagi menggunakannya, saya berjaya mendaftarkan nama ini kerana ia hampir dengan nama perniagaan yang saya usahakan. Dengan domain .MY, memang kita berasa bangga kerana membawa nama Malaysia, selain dapat memperkukuh strategi pemasaran.

“Usahawan lain juga boleh mendaftar domain .MY melalui MYNIC kerana dengan adanya laman web yang boleh dipercayai, ia dapat mempercepat urusan dengan pelanggan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan