KAJANG, 4 Mac (Bernama) -- Sebuah sekolah antarabangsa persendirian bersetuju menyediakan pendidikan secara percuma kepada 66 kanak-kanak dan remaja Palestin yang berada di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata Spectrum International School di sini akan mengecualikan yuran yang dianggarkan bernilai RM400,000 buat pelajar berkenaan serta menyediakan kelengkapan persekolahan.
Beliau berkata inisiatif itu adalah bagi memastikan hak pendidikan anak-anak Palestin terus terpelihara meskipun terpaksa meninggalkan tanah air akibat konflik yang berpanjangan.
"Kita mahu menyediakan pendidikan yang baik dan berkualiti kepada anak-anak ini yang dibawa masuk ke negara kita tanpa ada pendidikan.
"Sebagai sebuah negara yang berpegang teguh kepada nilai ihsan dan solidariti sejagat, Malaysia percaya bahawa pendidikan adalah kunci kepada perubahan dan pembinaan masa depan yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Kembali ke Sekolah' buat para pelajar berkenaan di sini malam ini.
Inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama Spectrum International School, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan pertubuhan Malaysian Humanitarian Aid and Relief.
Mohd Na'im berkata kanak-kanak dan remaja terlibat adalah daripada warga Palestin yang dibawa masuk ke Malaysia pada 16 Ogos tahun lepas untuk menerima rawatan perubatan.
Beliau berkata mereka kini ditempatkan di asrama MAIWP di Setapak, Kuala Lumpur.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Na'im turut menitipkan pesanan buat para pelajar terbabit agar sentiasa tabah mengharungi hidup yang penuh cabaran dan tidak berputus asa untuk meraih ilmu.
"Anak-anak yang saya kasihi, jangan pernah berputus asa. Dunia mungkin terasa berat tetapi ilmu akan menjadi cahaya yang menerangi kehidupan kalian.
"Dalam diri kalian tersimpan satu masa depan yang besar. Jangan pernah berhenti bermimpi dan jangan biarkan kezaliman meragut impian kalian," katanya dalam Bahasa Arab.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial