AM > BERITA

JKNT Keluarkan 22 Notis Kepada Peniaga Bazar Ramadan

06/03/2025 03:28 PM

KUALA TERENGGANU, 6 Mac (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan 22 notis kepada peniaga bazar Ramadan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh tiga hari pertama Ramadan, melibatkan kompaun berjumlah RM2,800.

Pengarahnya Datuk Dr. Kasemani Embong dalam kenyataan memaklumkan bahawa tindakan itu hasil pemeriksaan ke atas 840 tapak bazar Ramadan di seluruh negeri, dengan kesalahan utama termasuk menggaji pekerja tanpa suntikan anti-tifoid, tidak memakai apron, serta aspek kebersihan diri yang tidak terjaga.

"JKNT turut mengambil 22 sampel makanan secara rawak daripada 64 sampel yang dirancang bagi analisis pematuhan di bawah Akta Makanan 1983. Antara makanan yang diuji termasuk ayam masak merah, nasi kerabu, ayam kerutuk, gulai terung dan ayam paprik,” menurut kenyataan itu.

Dr. Kasemani berkata bagi memastikan tahap keselamatan makanan terjamin sepanjang Ramadan, JKNT telah menubuhkan 102 pasukan pemantauan dengan 410 anggota penguat kuasa, selain menjalankan pemeriksaan di pasar raya, kedai runcit dan pembekal bahan mentah.

Sebagai inisiatif tambahan, sistem kod QR diperkenalkan di bazar Ramadan bagi membolehkan orang ramai memberikan maklum balas mengenai tahap kebersihan premis dan makanan.

Dr. Kasemani mengingatkan peniaga agar mematuhi peraturan serta mengamalkan kebersihan makanan, sementara orang ramai disarankan untuk 'perhati dan pilih' sebelum membeli bagi memastikan makanan yang selamat dimakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan