AM > BERITA

Terdapat Kejanggalan Dalam Perolehan FWCMS - PAC

06/03/2025 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati terdapat kejanggalan apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) sebelum memuktamadkan terma dan kaedah perolehan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

Ia antara rumusan hasil tiga prosiding yang dijalankan pada 10 Dis 2024, 21 Jan 2025 dan 3 Feb 2025 berhubung isu perolehan FWCMS.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata KDN gagal memuktamadkan perjanjian berikutan pertikaian berhubung kadar caj patut dikenakan kepada majikan bermula 1 April 2018 sehingga kontrak tamat pada 31 Mei 2024 seperti yang dinyatakan dalam SST.

“Kegagalan kerajaan menghormati SST yang ditandatangani dan tidak memuktamadkan kontrak sehingga tamat tempoh telah membuka ruang kepada kerajaan terdedah kepada tindakan undang-undang oleh syarikat Bestinet yang menuntut ganti rugi RM1.57 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata oleh itu, syarikat berkenaan telah mengemukakan tuntutan baharu caj kutipan sebanyak RM230 dan kerajaan terpaksa berunding dan bersetuju pada kadar RM215, lebih tinggi daripada kadar dinyatakan dalam SST iaitu RM100 dan lanjutan tempoh kontrak selama enam tahun lagi sehingga 31 Jan 2031.

“Merujuk kepada perjanjian yang telah ditandatangani pada 3 Sept 2024, caj kutipan RM215 adalah berdasarkan kepada RM130 untuk pemulihan dari 2018 hingga 2024, dan RM85 untuk kos pengoperasian 2025 hingga 2031 termasuklah kos ekuiti dan kos-kos operasi,” katanya.

Sebagai langkah penambahbaikan kepada isu perolehan FWCMS, PAC mengesyorkan KDN memaklumkan mengenai mekanisme kutipan caj RM215 dan kaedah pembayaran kepada Bestinet yang telah dimuktamad serta diluluskan.

KDN juga perlu menjelaskan kaedah terbaik dalam mengoptimumkan FWCMS sehingga 2031 memandangkan pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dijangka siap pada 2028.

Selain itu, KDN perlu meningkatkan kawalan keselamatan siber termasuk sistem dan data terhadap FWCMS kerana sistem itu diuruskan syarikat Bestinet.

Orang ramai yang berminat membaca dan meneliti penyata PAC berhubung perolehan FWCMS, boleh memuat turun penyata berkenaan di laman web PAC www.parlimen.gov.my/pac.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan