AM > BERITA

Kepengerusian ASEAN: Malaysia Mahu Tetapkan Standard Baharu Dalam Tadbir Urus Global

09/03/2025 10:49 PM

PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia beraspirasi untuk menetapkan standard baharu dalam tadbir urus global, berasaskan nilai-nilai berkekalan seperti keterangkuman, kepelbagaian dan perancangan berorientasikan masa hadapan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia komited untuk memperkukuh keutamaan ASEAN, dengan rakyat sebagai teras usahanya.

“Ini sememangnya berlandaskan kepada nilai dan prinsip Malaysia MADANI. Walaupun mesyuarat telah diadakan, merentasi tiga tonggak Komuniti ASEAN dalam beberapa bulan ini, kami terus bekerja keras bagi mempersiapkan perhimpunan untuk lebih besar dan bermakna dalam bulan-bulan akan datang,” katanya berucap pada majlis berbuka puasa Kementerian Luar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anggota kor diplomatik.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Mohamad berkata Malaysia menghargai kerjasama semua rakan dan sekutunya, bagi memastikan kepengerusian ini terus diperkukuh dan memberi manfaat kepada rakyat ASEAN serta masyarakat global secara keseluruhannya.

Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu dan makmur.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini terdiri daripada 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam, manakala keahlian penuh Timor-Leste masih dalam proses.

Sementara itu, Mohamad berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian, dengan pelbagai budaya dan agama hidup dalam harmoni.

Beliau berkata amalan berkongsi iftar menjadi bukti indah kepada hakikat ini, dengan rakan dan jiran daripada pelbagai latar belakang berkumpul bersama-sama merasai semangat Ramadan.

“Bulan suci ini mengajar kita bahawa perpaduan diperkukuh melalui pengalaman bersama, serta bahawa rasa hormat dan belas kasihan adalah asas kepada sebuah masyarakat yang aman.

“Malam ini, kita raikan nilai keterangkuman dan solidariti yang menjadi identiti Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan