AM > BERITA

Insiden Letupan Bom Di Sungai Golok Jejas Pergerakan Di Sempadan

11/03/2025 07:07 PM

PASIR MAS, 11 Mac (Bernama) -- Insiden letupan bom dan tembakan di Sungai Golok, selatan Thailand, tiga hari lepas memberi kesan ketara terhadap pergerakan penduduk di sempadan Malaysia-Thailand, khususnya melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini.

Tinjauan Bernama mendapati sejak semalam, terdapat penurunan perjalanan merentas sempadan serta aktiviti perdagangan, sekali gus memberi impak kepada ekonomi tempatan.

Penduduk tempatan, Mohsein Karim, 53, berkata walaupun keadaan di sempadan kini lebih tenang, orang ramai tetap berhati-hati untuk masuk ke wilayah selatan Thailand itu.

Dia yang merupakan pengusaha motosikal tambang turut terjejas pendapatan akibat insiden itu dan berharap situasi kembali pulih dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan Thailand dapat menjamin keselamatan pengunjung di kawasan berkenaan.

“Sejak kejadian, hampir tiada pelancong Malaysia memasuki Thailand. Yang ada sekarang hanyalah rakyat Thailand yang mahu pulang ke negara mereka.

“Saya tidak pasti sebab utama penurunan ini, tetapi jelas kejadian letupan bom dan tembakan tempoh hari memberi kesan besar kepada penduduk di sempadan kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, seorang rakyat Thailand Mairina Ayohsea, 22, berkata insiden letupan bom bukan perkara luar biasa, terutama ketika bulan Ramadan.

Dia yang berasal dari wilayah Yala berkata daerah tempat tinggalnya juga mengalami kejadian serupa sehari selepas insiden di Sungai Golok dengan tiga orang terkorban.

“Sebagai rakyat wilayah selatan Thailand, saya sentiasa mendoakan keamanan dapat dikecapi sepenuhnya. Kami tidak lagi sanggup berhadapan dengan letupan bom dan tembakan yang tidak mengenal mangsa,” katanya yang kini dalam perancangan mencari pekerjaan di Kelantan.

Polis Thailand melaporkan bahawa satu letupan berlaku di sebuah pos keselamatan di luar Pejabat Daerah Sungai Golok Sabtu lepas, diikuti beberapa tembakan dilepaskan oleh sekumpulan penyerang menyebabkan dua anggota keselamatan Thailand terbunuh manakala lapan lagi cedera.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini berkata polis sentiasa memantau perkembangan di wilayah Narathiwat dan kawalan ketat dikuatkuasakan serta-merta sehingga situasi disahkan selamat.

Kementerian Luar pula meminta rakyat Malaysia menangguhkan lawatan tidak penting ke Yala, Narathiwat dan Pattani buat masa ini manakala mereka yang melancong atau menetap di wilayah itu dinasihatkan supaya berhati-hati.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan