AM > BERITA

KPT Tidak Terima Maklumat Pelajar Terjejas Susulan Letupan Bom Di Golok - Zambry

11/03/2025 10:25 PM

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menerima sebarang maklumat berkaitan pelajar Malaysia yang terjejas dalam insiden letupan bom di Pekan Sungai Golok, selatan Thailand pada 8 Mac lepas.

Menteri Pendidikan Tinggi ​Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata KPT mengikuti secara dekat kejadian berkenaan.

"Sehingga kini, tidak ada sebarang maklumat berkaitan sama ada pelajar kita (terjejas) dari segi kecederaan atau mangsa yang terlibat (itu) daripada pelajar kita atau tidak," katanya kepada media selepas Majlis Iftar Ramadan bersama warga KPT di sini hari ini.

Zambry berkata kebanyakan pelajar Malaysia belajar secara persendirian dalam bidang-bidang agama dan sebagainya di selatan Thailand.

Media sebelum ini melaporkan dua sukarelawan polis maut, manakala lapan lagi cedera dalam kejadian serangan bersenjata dan letupan bom di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok.

Serangan berlaku kira-kira sejam selepas umat Islam di wilayah selatan Thailand itu berbuka puasa.

Susulan itu, Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia untuk menangguhkan perjalanan tidak penting ke Yala, Narathiwat dan Pattani buat masa ini.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata empat pelajar Malaysia yang cedera dalam kemalangan jalan raya di Jordan pada 8 Mac lepas dilaporkan stabil, manakala seorang lagi dalam pengawasan pihak hospital.

"Saya mendapat maklum balas setiap hari dan saya mengarahkan pihak Education Malaysia Jordan (EMJ) supaya menyediakan laporan itu kepada saya setiap hari," katanya.

Zambry ketika ditanya pelajar berkenaan akan balik ke Malaysia berkata KPT belum mendapat maklumat kerana doktor masih membuat pemantauan terhadap mereka.

Sebelum ini, media melaporkan empat pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Mu'tah, Jordan cedera selepas terbabit dalam nahas jalan raya di negara berkenaan.

Dua daripada pelajar itu berasal dari Johor, manakala dua lagi masing-masing dari Selangor dan Kuala Lumpur.

Dalam majlis iftar itu, Zambry menyampaikan sumbangan raya kepada 98 orang pembantu khidmat am terdiri daripada warga pengurusan ibu pejabat, Jabatan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta Akademi Kepimpinan Tinggi (AKEPT).

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan