AM > BERITA

Great Eastern Takaful Bantu Pelajar B40 Melalui Sumbangan Keperluan Sekolah

12/03/2025 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Great Eastern Takaful Berhad (GETB) memulakan sesi persekolahan baharu dengan menganjurkan Program Program GET Back to School 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa di sini, bagi membantu 100 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dengan kelengkapan asas persekolahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful  Shahrul Azlan Shahriman berkata, program itu mencerminkan komitmen berterusan GETB dalam memastikan setiap kanak-kanak, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan, mendapat akses yang sama rata kepada pendidikan serta keperluan pembelajaran untuk pengalaman pembelajaran yang lebih baik.

"Setiap kanak-kanak seharusnya diberikan peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan dan keperluan pembelajaran. Bersama-sama, kita dapat membentuk masa depan yang mengutamakan pendidikan dan kesejahteraan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, inisiatif yang memasuki tahun kedua di bawah program tanggungjawab sosial korporat Great Eastern Takaful, GET-Pintar, membekalkan pelajar dengan beg sekolah, botol air, bekas makanan, bekas pensel berserta alat tulis serta baucar buku Pustaka Rakyat bernilai RM100.

Syarikat turut menyediakan makanan berbungkus kepada pelajar selepas majlis penyerahan bantuan tersebut.

Selain majlis penyerahan bantuan keperluan sekolah, GETB turut mengambil peluang untuk mempromosikan kelestarian dan kesedaran alam sekitar melalui inisiatif GET-Green iaitu GETB Upcycling Project. 

Menerusi program itu, pelajar berpeluang menyertai taklimat kesedaran alam sekitar serta kuiz interaktif, selain diperkenalkan kepada Mesin Kitar Semula 2-dalam-1 yang mampu mengubah sisa plastik menjadi barangan berguna seperti sikat, pembaris dan klip beg.

Menurut kenyataan itu, projek yang meraih anugerah ini telah diperkenalkan pada 2022 dan sehingga kini, telah memberi manfaat kepada lebih 12,000 individu dalam usaha memupuk gaya hidup lestari dan amalan mesra alam.

"Great Eastern Takaful akan terus ’Reach for Great’ bersama komuniti dengan menyokong dan menyediakan keperluan pendidikan, serta meningkatkan kesedaran alam sekitar," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan