AM > BERITA

MCMC Sedia Kerjasama Dengan KKM Tangani Ketagihan Media Sosial

13/03/2025 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menangani isu ketagihan media sosial yang luar biasa yang melibatkan kesihatan mental pengguna.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata ini kerana MCMC dan Kementerian Komunikasi tiada kepakaran bersesuaian berkaitan isu kesihatan mental.

“...dari segi MCMC, kami boleh mengeluarkan garis panduan mengenainya dan untuk mengawal penyedia platform supaya mereka membuat satu garis panduan lebih selamat kepada pengguna berumur 18 tahun ke bawah. Untuk pengguna dewasa pula saya percaya setiap individu perlu dipertanggungjawabkan terhadap pilihan mereka sendiri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tuan Azahar Hassan mengenai langkah Kementerian Komunikasi menangani kesan ketagihan teruk dalam kalangan pengguna media sosial seperti tiada rasa malu, membuat siaran langsung ketika makan dan anak-anak melayari media sosial hingga tidak keluar dari bilik tidur.

Mengenai tindakan pihak kementerian dalam menangani isu ketagihan media sosial itu, Teo berkata Kementerian Komunikasi menerusi MCMC komited melaksanakan perkongsian maklumat bagi  memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat agar sentiasa bertanggungjawab serta berhemah apabila menggunakan media sosial.

Beliau berkata antara langkah dan usaha yang telah dilaksanakan ialah latihan kemahiran kepada ibu bapa, penjaga, dan pendidik oleh MCMC melalui dua inisiatif di peringkat kebangsaan iaitu Klik Dengan Bijak (KDB) dan Sukarelawan ICT Malaysia (MIV).

“Mereka diberi makluman dan pendedahan berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian untuk dikongsikan dengan golongan itu supaya cakna tentang keselamatan dalam talian serta mengimbangi penggunaan Internet dan aplikasi media sosial dengan kehidupan seharian,” katanya.

Teo berkata Kementerian Komunikasi melalui MCMC juga telah melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian pada 21 Jan lepas dan menyasarkan seluruh lapisan masyarakat dengan pengisian pelbagai program dan aktiviti kesedaran keselamatan dalam talian.

Beliau berkata ia termasuk penggunaan Internet secara selamat dan seimbang menerusi ceramah, latihan, kolaborasi dengan pempengaruh media sosial, latihan untuk pelatih dalam kalangan pemimpin pelajar dan penggunaan bahan didik berdasarkan modul khusus yang dibangunkan oleh MCMC mengikut kumpulan sasar.

Beliau berkata pihaknya turut menjalin kerjasama bersama penyedia perkhidmatan media sosial TikTok dan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM).

“Melalui kempen jelajah oleh unit bergerak PSSS, pusat ini memberikan perkhidmatan psikososial kepada masyarakat seperti sesi bimbingan dan kaunseling yang berbentuk kelegaan segera kepada kumpulan sasar terhadap beberapa isu sosial termasuk kesihatan mental,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan