SUKAN > BERITA

SIVASANGARI LAYAK KE SUKU AKHIR TERBUKA AUSTRALIA

13/03/2025 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Pemain skuasy wanita utama negara S. Sivasangari memulakan kempen Terbuka Australia dengan cemerlang apabila mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain Hong Kong, Lee Ka Yi  pada pusingan kedua di Brisbane hari ini.

Pilihan kelima kejohanan itu, yang menerima bye pada pusingan pertama tidak berdepan banyak masalah untuk menundukkan Ka Yi 11-1, 11-5, 11-7.

Kemenangan ini turut memanjangkan rekod tanpa kalah Sivasangari ke atas lawannya itu kepada empat perlawanan berturut-turut dalam kejohanan yang berlangsung di Kelab Skuasy Sandgate, Brisbane.

Sivasangari kini akan bersaing untuk tempat ke separuh akhir menentang pilihan keempat dari Mesir, Rowan Elaraby, yang menamatkan harapan untuk pertemuan sesama pemain Malaysia selepas menewaskan Rachel Arnold 11-4, 12-10, 11-5.

Sementara itu, Aifa Azman mencuri tumpuan apabila mengejutkan pilihan ketujuh dari Mesir, Fayrouz Aboelkheir, 14-12, 7-11, 11-9, 12-10 dalam perlawanan yang berlangsung selama 48 minit.

Cabaran besar menanti Aifa, bukan pilihan apabila beliau bakal menentang pilihan kedua, Tinne Gilis selepas pemain Belgium itu mengalahkan Tsz-Wing Tong dari Hong Kong, 11-3, 11-6, 11-3.

Dalam saingan lelaki, pemain negara yang juga pilihan kelima, Ng Eain Yow, terpaksa menarik diri ketika permainan penentuan menentang pemain Mesir, Mohamad Zakaria, selepas ketinggalan 2-6.

Terdahulu Eain Yow memenangi  dua set pertama, 11-9, 11-8 sebelum Mohamad bangkit untuk memenangi set ketiga dan keempat 11-5, 11-9 sebelum insiden kecederaan memaksa pemain negara  itu menarik diri.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan