CHUKAI, 14 Mac (Bernama) -- Permintaan tinggi terhadap lemang yang menjadi juadah wajib Hari Raya Aidilfitri membuatkan para peniaga di deretan gerai lemang di Kijal di sini tidak menang tangan.
Lemang Kijal sememangnya popular, bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah ada masyarakat luar Terengganu seperti dari Pahang dan Kuala Lumpur yang sanggup datang ke Kijal semata-mata ingin mendapatkan hindangan tradisional itu setiap kali hari raya.
Seorang peniaga Nurul Nabilah Hashnan, 29, berkata kebiasaanya beliau akan menjual kira-kira 1,000 batang lemang pada minggu terakhir Ramadan, terutama dalam tempoh satu atau dua hari sebelum Aidilfitri.
Beliau berkata pada hari biasa, jualan hanya sekitar 150 batang sehari, namun pada hujung minggu dan bulan Ramadan ini jualan bertambah sehingga lebih 200 batang, dan biasanya dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum Hari Raya, jualan terus melonjak sehingga pernah mencecah 1,000 batang.
“Pada waktu itu kita akan buka gerai dari pagi sampai malam, ada juga pelanggan tetap yang tempah terlebih dahulu, tetapi saya tidak ambil tempahan yang banyak kerana risau saya dan lima pekerja lagi tidak sempat menjual dan melayan pelanggan yang ‘walk-in’ ke gerai kami,” katanya ketika ditemui di gerai lemangnya di Kijal di sini.
Nurul Nabilah yang menyambung legasi pembuatan dan penjualan lemang daripada ibu mentuanya, Atikah Salleh, 78, berkata beliau bersyukur kerana berpeluang mencari pendapatan lebih setiap kali musim hari raya.
Sementara itu Atikah yang telah lebih 40 tahun berniaga lemang berkata rata-rata penjual lemang di Kijal pada tahun ini terpaksa menghadapi cabaran kenaikan pelbagai harga barangan mentah untuk membuat lemang, terutama santan.
Walaupun dengan kenaikan harga bahan mentah, beliau sama sekali tidak akan mengurangkan penggunaan bahan untuk menyiapkan lemangnya, kerana beliau berhasrat memelihara rasa dan kualiti jualannya itu.
“Lemang perlu ada rasa lemak masin yang secukupnya. Walaupun harga santan sekarang mahal tetapi kalau kita buat (santan) cair ia akan mengubah rasa lemang. Pelanggan akan tahu dan mereka tidak akan datang lagi ke kedai kita,” katanya yang menjual lemang serendah RM5 sebatang, mengikut saiz.
Malah Atikah berkata beliau juga tidak sampai hati untuk menaikkan harga lemang kerana telah terbiasa meletakkan harga yang murah, di samping berasa kasihan kepada pelanggan terutama yang kurang berkemampuan.
Seorang lagi peniaga Azman Abdul Wahab, 49, berkata sepanjang bulan Ramadan ini 200 batang lemang yang dibakarnya akan habis dijual sekitar 2 hingga 3 petang, berbanding sekitar pukul 6 petang pada hari biasa.
Beliau berkata berikutan harga barangan mentah terutama santan yang meningkat mendadak tahun ini, beliau tidak lagi dapat menjual lemangnya pada harga RM10 bagi tiga batang lemang seperti sebelumnya.
“Kebiasaannya harga santan RM10 sekilogram, tetapi tahun ini naik RM14 hingga RM16 sekilogram. Setiap hari saya menggunakan sekitar 10kg santan. Jadi pada tahun ini saya terpaksa menaikkan sedikit harga lemang dan menjualnya RM10 atau RM20 untuk dua batang, bergantung kepada saiz lemang.
“Tetapi rata-rata pelanggan faham dan mereka tetap membelinya kerana keenakan dan kesedapan lemang Kijal yang tidak sama di tempat lain,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial