AM > BERITA

Empat Filem Seniwati Sarimah Berjaya Dikembalikan - Teo

14/03/2025 02:47 PM

PETALING JAYA, 14 Mac (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berjaya membantu seniwati legenda Datuk Dr Sarimah Ahmad mendapatkan semula empat filem beliau daripada sebuah syarikat produksi.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata filem “Dia Ibuku”, “Jejak Bertapak”, “Kabus Tengah Hari” dan “Detik 12 Malam” diambil oleh syarikat produksi terlibat di bawah perjanjian tayangan pada 1989.

Beliau berkata pihak yang memiliki bahan filem berkenaan telah menyerahkan salinan dalam format cakera keras (HDD) kepada FINAS untuk tujuan restorasi.

“Langkah ini membolehkan salinan filem diserahkan kepada Datuk Sarimah sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan warisan seni negara,” katanya kepada pemberita pada program Ziarah Seni MADANI FINAS di kediaman anak Sarimah di Subang Jaya hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS Rozaidi Abdul Jamil serta Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez.

Teo turut menyerahkan sumbangan wang tunai dan keperluan asas bagi meringankan beban Sarimah yang pernah menghidap kanser usus pada 2022.

Mengulas mengenai program Ziarah Seni MADANI FINAS, Teo berkata Sarimah merupakan penerima pertama program itu bagi tahun ini bersempena dengan Ramadan dan meraikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

“Kita juga ingin memberikan penghargaan dan menunjukkan pengiktirafan yang tertinggi kepada tokoh-tokoh dan legenda anak seni tempatan seperti seniwati Sarimah.

“Program tahun ini kita sasarkan 100 orang penerima termasuk penyerahan sumbangan dalam program bersama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzli nanti,” katanya.

Sementara itu, Azmir Saifuddin berkata perbincangan bagi mendapatkan semula salinan filem Sarimah dengan syarikat produksi terlibat berjalan hampir setahun sebelum pihak berkenaan bersetuju menyerahkannya kepada seniwati berkenaan.

“Filem berkenaan diambil menerusi perjanjian dengan satu pihak, dan pihak itu kemudiannya menjual filem berkenaan kepada pihak lain, kita berjaya kesan dan adakan perbincangan bersama mereka.

“Mereka setuju menyerahkan salinan filem itu dan membenarkan untuk karya itu disiarkan di RTM dengan bayaran fi selama setahun misalnya diberikan kepada Sarimah,” katanya.

Sebelum ini, Sarimah, 83, memohon seorang penerbit terkenal mengembalikan semula pita asal empat filem hasil karyanya yang diambil sejak 37 tahun lepas sebelum beliau meninggal dunia.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan