PUTRAJAYA, 14 Mac (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai memberi keterangan berhubung kes rasuah serta pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk hari ini.
Bagaimanapun ia masih belum berakhir kerana menurut sumber, Ahli Parlimen Bera itu dijangka kembali bagi menyambung sesi memberi keterangan kepada SPRM pada Isnin.
Terdahulu, Ismail hadir bagi dirakam keterangan berhubung kes itu pada pukul 8.46 pagi tadi, sebelum keluar pada 12.30 tengah hari untuk solat Jumaat, dan kembali semula di Ibu Pejabat SPRM pada 3.25 petang bagi menyambung sesi.
Kenderaan yang dinaiki beliau kemudiannya dilihat meninggalkan perkarangan SPRM pada 5.42 petang.
Semalam Ismail Sabri telah telah hadir dan mula memberi keterangan berhubung kes berkenaan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Pada 3 Mac, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safe house susulan serbuan dilakukan pihaknya.
Wang tunai dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya baht, riyal, pound sterling, won, euro, Franc Swiss dan yuan, manakala 16 kilogram jongkong emas tulen yang turut disita dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan, dengan fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata Ismail Sabri memberikan kerjasama baik dengan SPRM sepanjang sesi rakaman keterangan yang memasuki hari kedua hari ini.
"Beliau bekerjasama dengan pegawai yang merekodkan keterangan, tetapi saya tidak boleh mendedahkan kenyataan beliau," katanya ringkas ketika dihubungi di sini.
Azam berkata proses merekod keterangan itu akan disambung Isnin berikutan Ismail Sabri mempunyai program yang dijadualkan diadakan di Bera, Pahang.
Ismail Sabri memberikan keterangan kira-kira enam jam di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini dalam dua sesi berhubung kes rasuah serta pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya
Kes itu disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial