AM > BERITA

34 Kompaun Dikenakan Kepada Peniaga Bazar Ramadan Di Sabah

14/03/2025 08:42 PM

KOTA KINABALU, 14 Mac (Bernama) -- Sebanyak 34 kompaun pelbagai kesalahan membabitkan denda RM5,200 dikenakan kepada premis Ramadan sehingga hari ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Maria Suleiman.

Beliau berkata daerah yang mengeluarkan kompaun kesalahan adalah 10 kompaun di Kota Marudu, Sandakan (7), Semporna (4), Kuala Penyu (3), Nabawan (3), Papar (2), Keningau (2), Lahad Datu (2) dan Kinabatangan (1).

“Jenis kesalahan pula adalah 11 kesalahan tiada sijil latihan pengendali makanan, lima kesalahan berhubung suntikan anti-tifoid, 16 kesalahan pakaian pengendali makanan dan dua pemilik gagal mengemukakan dokumen Sekolah Latihan Pengendalian Makanan dan Suntikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan Program Walkabout Pemantauan Bazar Ramadan 2025 di Lintasan Deasoka di sini hari ini.

Dr Maria berkata bilangan premis Ramadan yang diperiksa pula adalah 1,152 premis daripada 17 daerah iaitu Papar, Tuaran, Kota Marudu, Kuala Penyu, Beaufort, Tambunan, Nabawan, Lahad Datu, Semporna, Keningau, Tongod, Kinabatangan, Pitas, Sandakan, Kudat, Beluran dan Sipitang.

“Seramai 2,393 orang pengendali makanan di bazar Ramadan telah diperiksa dan 2,325 orang atau 97.2 peratus memiliki suntikan, manakala 2,328 orang atau 97.3 peratus telah mendapat latihan pengendali makanan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menggerakkan 682 penguat kuasa untuk memantau penyediaan dan kebersihan makanan di 91 lokasi bazar Ramadan seluruh negeri sepanjang bulan ini.

“Setiap tahun kita akan memantau bazar Ramadan agar makanan yang dijual adalah selamat dan mematuhi Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009. 

“Pemantauan yang dibuat adalah secara komprehensif iaitu sebelum dan semasa bulan Ramadan, seperti aktiviti pemeriksaan dan penguatkuasaan di sepanjang rantaian makanan termasuk premis pembekal bahan mentah, premis penyediaan makanan, premis pembekal ais dan premis jualan makanan di bazar Ramadan,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan