AM > BERITA

MITEC Semarakkan Semangat Ramadan Bersama 80 Kanak-kanak

15/03/2025 10:07 AM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) meraikan 80 kanak-kanak kurang bernasib baik dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Teratak Ummi dalam satu majlis Ramadan yang diadakan di sini malam tadi.

Majlis yang bertujuan menyebarkan kegembiraan dan memberi sokongan kepada mereka kurang bernasib baik itu dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MITEC Mala Dorasamy serta Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd (Qube) Richard Teo.

MITEC dalam kenyataan memaklumkan inisiatif ini mencerminkan komitmen mereka dalam memberi kembali kepada masyarakat dengan setiap rumah kebajikan menerima sumbangan RM1,000  manakala kanak-kanak yang diraikan menerima duit raya bagi menceriakan sambutan Aidilfitri mereka tahun ini.

“Majlis turut menampilkan Iftar istimewa, membolehkan kanak-kanak menikmati juadah berbuka puasa yang enak sekali gus membuktikan dedikasi MITEC dalam memperkukuh keterlibatan komuniti dan tanggungjawab sosial.

“Inisiatif ini juga selari dengan komitmen Qube terhadap tanggungjawab sosial dan pemerkasaan komuniti, mengukuhkan lagi peranan MITEC bukan saja sebagai lokasi acara bertaraf dunia tapi juga sebagai platform untuk keterlibatan yang bermakna,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Mala berkata Ramadan adalah waktu untuk merenung, berbahagi rezeki dan mengeratkan hubungan dalam masyarakat, dan menyifatkan ia satu penghormatan kepada MITEC kerana dapat menerima kehadiran kanak-kanak ini serta memberikan mereka pengalaman menggembirakan.

“Di MITEC, kami percaya kepada kuasa memberi dan memperkukuh ikatan yang menyatukan kita sebagai sebuah masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Teo berkata adalah satu keistimewaan kepada Qube untuk meraikan kanak-kanak ini, dan Qube juga telah merancang pelbagai aktiviti khas bagi mencipta pengalaman Ramadan yang bermaka dalam suasana istimewa agar kanak-kanak boleh menikmati kehangatan dan keindahan lokasi bertaraf dunia itu.

“Bukan sekadar perayaan, kami juga ingin membawa kegembiraan ke dalam hati mereka, menyemai harapan dan membuka mata kepada peluang baharu.

“Di Qube, komitmen kami melangkaui urusan perniagaan - kami berusaha untuk memperkasa komuniti, membina hubungan bermakna dan meninggalkan impak positif yang berkekalan,” katanya.

Sebagai tanda prihatin, MITEC turut menjemput kanak-kanak berkenaan untuk kembali mengunjunginya dan meneroka pelbagai pameran serta acara kebudayaan yang menarik sepanjang tahun ini sebagai peluang untuk mereka menyaksikan dunia acara dinamik dan penuh inspirasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan