AM > BERITA

Malaysia Perlukan Undang-undang Pengurangan Sisa Makanan - Lee Lam Thye

15/03/2025 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Malaysia segera memerlukan undang-undang berkaitan pengurangan sisa makanan bagi menangani tahap pembaziran makanan yang membimbangkan, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata berdasarkan kajian terkini rakyat Malaysia membazirkan kira-kira 16,688 tan makanan setiap hari, dengan hampir 60 peratus daripadanya boleh dielakkan.

"Undang-undang ini perlu menetapkan matlamat yang jelas untuk mengurangkan pembaziran makanan, mewajibkan perniagaan untuk membuat laporan dan menyediakan garis panduan untuk sumbangan makanan dan kitar semula.

“Ia juga perlu merangkumi denda untuk pembaziran berlebihan dan pemberian insentif untuk perniagaan serta individu yang mengamalkan amalan lestari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata pembaziran makanan merupakan krisis alam sekitar dan ekonomi, manakala pengeluaran, pengangkutan, dan pelupusan makanan yang dibazirkan menyumbang kepada pelepasan karbon yang tinggi.

“Dengan mengurangkan pembaziran makanan, kita mampu mengurangkan jejak karbon dan perubahan iklim. Perundangan dapat menguatkuasakan amalan lestari di seluruh rantaian bekalan makanan, dari pengeluaran hingga penggunaan," katanya.

Lee berkata perundangan juga boleh memberikan insentif kepada perniagaan untuk mengamalkan langkah pengurangan pembaziran seperti pengurusan inventori yang lebih baik dan sumbangan makanan lebihan kepada golongan memerlukan, di samping menggalakkan pengagihan semula kepada badan amal dan bank makanan.

“Malaysia telah mengesahkan komitmen terhadap usaha mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk sasaran untuk mengurangkan separuh jumlah pembaziran makanan menjelang 2030. Tanpa perundangan, kita berisiko gagal mencapai sasaran ini. Kerangka undang-undang akan menyediakan struktur dan akauntabiliti yang diperlukan bagi mencapai sasaran terbabit," katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan membangunkan kemudahan bagi pengkomposan, pencernaan anaerobik, dan kaedah kitar semula sisa makanan lain, serta melabur dalam penyelidikan bagi teknologi baharu dalam pemeliharaan makanan, pembungkusan, dan pengurusan rantaian bekalan untuk mengurangkan pembaziran dengan lebih efektif.

“Marilah kita bertindak sekarang bagi memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah negara dengan sumber dihargai dan tiada sesiapa yang kelaparan. Marilah kita bertekad untuk mengurangkan pembaziran makanan dan mewujudkan masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan