KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menggesakan agensi itu memainkan peranan penting dan “menunjukkan keupayaan dan kesediaannya” untuk menangani cabaran perdagangan global yang boleh membawa kepada perang perdagangan.
Perwakilan Tetap Malaysia itu menerusi satu kenyataan berkata sebagai salah satu anggota pengasas, Malaysia akan terus mengadakan perbincangan membina dengan anggota lain untuk mengukuh dan mendukung sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan.
Sementara itu, memetik statistik WTO, Wakil Tetap Malaysia ke WTO, Duta Besar Syahril Syazli Ghazali, menyatakan perdagangan perkhidmatan global mencatatkan peningkatan kukuh 10 peratus pada suku ketiga 2024, berdasarkan pertumbuhan kukuh pada separuh pertama tahun itu.
Beliau berkata peningkatan dalam eksport perkhidmatan dan pertumbuhan import di seluruh rantau mencerminkan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan pelbagai.
"Secara khusus, pada suku ketiga 2024, pengangkutan mencatatkan peningkatan 14 peratus, perbelanjaan pengembara antarabangsa di ekonomi asing meningkat sebanyak 10 peratus dan perkhidmatan komersial lain (menyumbang kira-kira 60 peratus daripada jumlah perdagangan perkhidmatan) berkembang sebanyak lapan peratus.
"Saya menggesa para anggota untuk memperhebatkan libat urus dalam menangani isu tertunggak, serta meneroka fleksibiliti untuk mencapai keberhasilan berpotensi bagi Persidangan Menteri di Younde, Cameroon yang akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat pertama Majlis Perdagangan Dalam Perkhidmatan (CTS) tahun ini yang diadakan pada Khamis di Geneva, Switzerland.
Ini merupakan mesyuarat terakhir Syahril Syazli sebagai pengerusi, dan beliau secara rasmi menyerahkan jawatan tersebut kepada Wakil Tetap Nepal ke WTO, Duta Besar Ram Prasad Subedi.
Mesyuarat CTS membincangkan dan menangani hasil utama yang dicapai semasa Persidangan Menteri-Menteri WTO ke-13 (MC13) di Abu Dhabi tahun lepas.
Mesyuarat itu juga meluluskan rangka kerja soal selidik yang dibangunkan oleh negara-negara kurang membangun (LDC) untuk memudahkan pelaksanaan 'pengecualian perkhidmatan LDC', yang bertujuan memberikan layanan keutamaan kepada perkhidmatan dan pembekal perkhidmatan LDC, seperti yang dimandatkan oleh Menteri-Menteri WTO di Nairobi pada 2015.
CTS merupakan salah satu badan subsidiari peringkat-1 WTO yang menyelia pelaksanaan Perjanjian Am untuk Perdagangan dalam Perkhidmatan (GATS) dan melaporkan terus kepada Majlis Umum.
GATS menyediakan rangka kerja undang-undang untuk menangani halangan kepada perdagangan dan pelaburan dalam perkhidmatan.
Ia termasuk komitmen khusus oleh ahli WTO untuk menyekat penggunaan halangan tersebut dan menyediakan forum untuk rundingan lanjut untuk membuka dan memudahkan pasaran perkhidmatan.
Komitmen ini terkandung dalam jadual ahli, sama seperti jadual ahli untuk tarif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial