LABUAN, 15 Mac (Bernama) -- Projek pembinaan jambatan bernilai RM11.6 juta di Kampung Patau-Patau 1 dijangka siap sembilan bulan lebih awal daripada dijadualkan, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usaha kerajaan menambah baik infrastruktur di Labuan.
Projek pembinaan jambatan sepanjang empat kilometer yang dimulakan pada Oktober 2023 itu amat penting bagi perkampungan atas air berkenaan, yang didiami hampir 2,000 penduduk.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan komited terhadap pembangunan infrastruktur terutama di kawasan yang memerlukan perhatian segera.
“Kita perlu memberikan pujian terhadap dedikasi Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan yang bukan sahaja memastikan tahap kemajuan pembinaan konsisten tetapi juga tempoh penyiapan lebih awal,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri taklimat projek berkenaan di kampung berkenaan.
Beliau berkata projek terbabit mengambil kira aspek keselamatan penduduk kampung dan pemuliharaan daya tarikan kampung air sebagai destinasi pelancongan.
“Seiring dengan kerajaan yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi Labuan dan kesejahteraan penduduk, aspek penambahbaikan infrastruktur tidak akan diabaikan," katanya sambil menambah jambatan berkenaan juga akan mengukuhkan lagi sektor pelancongan di Labuan.
Sementara itu, Pengarah JKR Labuan Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah berkata jambatan itu dibina menggunakan konkrit berprestasi ultra tinggi (UHPC) termasuk pemasangan pagar 1,000 mm untuk meningkatkan keselamatan.
“Walaupun kerja-kerja fizikal keseluruhan berada pada tahap 31 peratus, kami (JKR Labuan) telah mencapai 80 peratus kemajuan keseluruhan projek," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial