KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- PDRM FC menamatkan rekod empat kekalahan berturut-turut apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Negeri Sembilan FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang di sini, malam ini.
Pada aksi itu, pasukan pelawat bimbingan K. Nantha Kumar terlebih dahulu membuka akaun gol menerusi penyudah penyerang kebangsaan Myanmar Hein Htet Aung pada minit ketujuh.
Namun, dua sepakan penalti dihadiahkan pengadil Muhammad Munir Mohd Izam di babak kedua perlawanan pada minit ke-72 dan ke-86 menyelamatkan maruah PDRM.
Penalti pertama diberikan selepas Aroon Kumar menjatuhkan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi sementara penalti kedua apabila Mohamad Hariz Kamaruddin menjatuhkan Muhammad Shahrel.
Penyerang import dari Brazil Bruno Suzuki dengan tenang menyempurnakan tanggungjawab dalam kedua-dua momen getir itu.
Selepas 21 perlawanan, PDRM yang merupakan naib juara Piala Cabaran musim ini kini berada di kedudukan kelapan dengan mengumpul 24 mata, berkongsi mata dengan Perak FC di posisi ketujuh.
Sementara Negeri Sembilan kekal di tempat kedua tercorot dengan mengutip 13 mata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial