SHAH ALAM, 15 Mac (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat perniagaan daripada tujuh syarikat berjumlah RM11.6 juta pada Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat serta Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1446 Hijrah di sini hari ini.
Syarikat yang menyerahkan zakat perniagaan itu ialah Pintas Utama Sdn Bhd berjumlah RM3 juta, Rafulin Holdings Sdn Bhd (RM2.15 juta), Sime Darby Property Berhad (RM2 juta) dan MAHSA Universiti (RM1.32 juta).
Turut menyerahkan zakat perniagaan pada majlis di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong itu ialah KDEB Waste Management Sdn Bhd (RM1.17 juta), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (RM1 juta) dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (RM1 juta).
Terdahulu, ketibaan Sultan Selangor yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin pada 6.30 petang disambut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya dengan jumlah keseluruhan RM239,000 kepada 478 asnaf terdiri daripada kategori fakir, miskin dan mualaf daerah Petaling dengan setiap penerima sumbangan menerima RM500.
Sementara itu, Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed dalam sembah ucapannya memaklumkan pembangunan pesat daerah itu telah menyumbang kepada peningkatan hasil menyaksikan sejumlah RM659.8 juta dikutip Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling pada tahun lepas meliputi premium tanah, cukai tanah dan cukai petak.
Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan statistik pendaftaran sistem E-Kasih hingga 1 Mac lepas, daerah Petaling mencatat sebanyak 443 ketua isi rumah (KIR) berstatus miskin tegar, 3,316 KIR miskin manakala 7,724 KIR keluar daripada garis panduan kemiskinan.
Beliau berkata pelbagai usaha seperti peningkatan kemudahan asas, pemberian bantuan sosial serta program latihan kemahiran untuk golongan berpendapatan rendah melalui program Iltizam Selangor Penyayang oleh kerajaan negeri dan Inisiatif Pendapatan Rakyat daripada kerajaan Persekutuan giat dilaksanakan.
Baginda berdua kemudian berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih bersama rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial