KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Komited untuk terus mendampingi masyarakat, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunannya sempena Ramadan di Masjid Inayaturrahman, Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor hari ini.
Bertemakan “Indahnya Ramadan”, pengisian program CSR di kawasan kampung angkat Bernama di bawah Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung itu termasuk majlis berbuka puasa bersama masyarakat setempat, pengagihan duit raya kepada anak yatim dan sumbangan kepada jawatankuasa pengurusan masjid.
Program CSR Indahnya Ramadan di Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, antara kampung tertua di Kuala Langat itu dijadualkan bermula pada 5 petang dan akan diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan warga Bernama akan turut memeriahkan majlis CSR itu bagi memperkukuh hubungan bersama masyarakat setempat.
Lebih manis, program itu juga disemarakkan dengan kerjasama rakan strategik Bernama iaitu Rimbunan Kuasa Sdn Bhd, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), MTD Group, Maju Expressway Sdn Bhd (MEX) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Dibuka sekitar awal 1800, Kampung Batu Laut yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Shah Alam, kini didiami kira-kira 3,500 penduduk yang kebanyakannya mencari nafkah sebagai petani dan nelayan.
Majlis pelancaran Kampung Batu Laut sebagai kampung angkat Bernama itu disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu pada 12 Okt 2024.
Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung merupakan cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diumumkan pada Mei 2024.
Antara objektif utamanya ialah bagi membolehkan pemantauan secara langsung serta libat urus dengan komuniti setempat bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung yang dipilih pemimpin kerajaan.
Tahun lepas, Dataran Putrajaya dan Bazaria Lembah Pantai menjadi antara lokasi penganjuran Program CSR Bernama sempena Ramadan yang ketika itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial