AM > BERITA

Santuni MADANI: KPM Cakna Pantau Projek, Pastikan Siap Dalam Tempoh Ditetapkan - Fadhlina

17/03/2025 10:07 AM

PENGKALAN HULU, 17 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan semua projek yang dilaksanakan di Kampung Kuak Hulu akan siap dalam tempoh yang sewajarnya, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa cakna perkembangan semasa berkenaan projek yang dilaksanakan di kampung itu kerana manfaatnya penting untuk masyarakat di situ.

"Macam gelanggang futsal (yang dinaik taraf) itu untuk kegiatan anak-anak muda, kemudian sekolah tempoh hari yang sedikit sebanyak ada isu keselamatan yang mesti kita selesaikan dalam tempoh paling segera.

"Alhamdulillah, komitmen semua agensi sangat baik dan kita akan terus memastikan bahawa selepas ini yang terkait rapat dengan fasiliti berkenaan akan terus diberikan perhatian," katanya kepada pemberita pada Program Santuni MADANI Menteri Pendidikan di Masjid Al-Bakri, Kampung Kuak Hulu di sini semalam.

Pada 26 Sept lepas, Fadhlina memaklumkan Kampung Kuak Hulu dipilih untuk penganjuran Program Santuni MADANI Menteri Pendidikan setelah melakukan penelitian mendalam oleh KPM.

Fadhlina berkata tindakan cakna terhadap perkembangan kampung yang dipilih itu juga antara tujuan Program Santuni MADANI supaya beliau sendiri sebagai pemimpin mengambil maklum perkembangan yang dilaksanakan oleh agensi berkaitan di kampung berkenaan.

"Kita (KPM) ada mesyuarat setiap bulan untuk memastikan semua proses kerja (naik taraf) itu berlangsung mengikut waktu dan tempoh yang ditetapkan. Pegawai-pegawai kami yang telah bekerja keras untuk memastikan semua perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat September lepas kebanyakannya selesai," katanya.

Program Santuni MADANI Menteri Pendidikan di Kampung Kuak Hulu semalam adalah kesinambungan kepada program yang kali pertama diadakan pada September tahun lepas. 

Pada program kali ini, Fadhlina mengunjungi bazar Ramadan Pengkalan Hulu untuk beramah mesra dengan masyarakat setempat, sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI bertempat di Masjid Al-Bakri, Kampung Kuak Hulu di sini. 

Bersempena penganjuran Program Santuni MADANI pada kali ini, turut diadakan acara penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan Orang Kurang Upaya (OKU) di kampung itu.

Pada masa sama, turut diadakan acara penyampaian cek cura oleh Pejabat Pembangunan Negeri Perak (ICU Perak) bagi inisiatif menaik taraf gelanggang futsal Kampung Kuak Hulu yang berjumlah RM200,000 dan padang bola sepak Padang Chong di sini sebanyak RM100,000.

Selain itu, kerja menaik taraf dan baik pulih tandas, tempat wuduk serta kerja-kerja berkaitan di Masjid Al-Bakri di sini, melibatkan kos sebanyak RM50,000.

Program Santuni MADANI ialah inisiatif kerajaan untuk memberi tumpuan kepada lokaliti di seluruh negara bagi menangani kemiskinan, dan meningkatkan akses pendidikan, kesihatan, pengangguran, keselamatan, isu sosial, infrastruktur serta alam sekitar.

Usai majlis itu, Fadhlina kemudian menyertai solat tarawih di Pusat Islam, Kolej Vokasional Gerik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan