SHAH ALAM, 17 Mac (Bernama) -- Inisiatif deklarasi kendiri di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) merangkumi lima item pemeriksaan yang tidak melibatkan aspek keselamatan bagi kenderaan perdagangan mula berkuat kuasa hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata inisiatif yang diumumkan pada 11 Mac lepas itu merangkumi tanda badan kenderaan, tanda had laju, kit bantuan kecemasan, nombor pendaftaran dan keadaan tempat duduk penumpang bagi kenderaan perkhidmatan awam.
Beliau berkata melalui inisiatif itu, masa pemeriksaan dapat dipendekkan serta mengurangkan kes kegagalan atas sebab yang tidak kritikal, dan mana-mana kenderaan yang gagal pemeriksaan untuk lima item sebelum tarikh pelaksanaan boleh terus menjalani pemeriksaan semula di Puspakom secara dalam talian bermula hari ini.
“Kelonggaran ini hanya diberi kepada kenderaan yang gagal pemeriksaan bagi lima item ini tanpa melibatkan mana-mana item pemeriksaan lain serta melibatkan prosedur pemeriksaan di Puspakom sahaja.
“Bagaimanapun, item ini masih tertakluk kepada peraturan-peraturan penguatkuasaan di bawah JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pihak berkuasa akan mengambil tindakan sekiranya kenderaan berkenaan tidak mempunyai lima item pada badan kenderaan mereka (di atas jalan raya) seperti kompaun sehingga RM300 bagi setiap item,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Puspakom Shah Alam di Seksyen 28 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman.
Aedy Fadly berkata pemilik kenderaan boleh memuat turun buku panduan berkenaan kriteria dan spesifikasi lima item berkenaan, yang perlu dipatuhi setiap kenderaan sebelum membuat deklarasi kendiri di laman web Puspakom.
Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata kelima-lima item itu akan dimasukkan dalam elemen pemeriksaan JPJ menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025, yang akan dilaksanakan bermula 24 Mac hingga 8 April di seluruh negara.
Beliau berkata JPJ juga akan membekukan cuti kira-kira 2,500 pegawai dan anggota mereka sepanjang tempoh op khas berkenaan kecuali pada 1 dan 2 Syawal nanti.
Sementara itu, Mahmood Razak berkata dianggarkan 7,500 pemilik kenderaan perdagangan akan membuat deklarasi kendiri dalam talian di laman sesawang Puspakom susulan penguatkuasaan inisiatif berkenaan.
Beliau berkata langkah itu dijangka mampu mengurangkan tempoh pemeriksaan hampir 10 minit yang sebelum ini dilihat menjadi punca kesesakan di pusat pemeriksaan kenderaan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial