AM > BERITA

PM Anwar Ucap Tahniah Kepada Barisan Kepimpinan Baharu CEC DAP

17/03/2025 03:00 PM

PUTRAJAYA, 17 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bagi penggal 2025-2028 yang diumumkan semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berharap barisan kepimpinan baharu itu dapat meneruskan kerja dengan baik dalam satu pasukan selama tiga tahun lagi. 

“Tahniah dan terus kerja,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri program Ihya’ Ramadan bersama warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.

Kira-kira 300 warga KPT mendengar tazkirah Ramadan disampaikan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim bertajuk "Maqasid Al-Quran dan Masyarakat MADANI" sebelum menunaikan solat zuhur berjemaah yang diimamkan oleh Mohd Izhar Ariff.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Anesee Ibrahim.

Pada pemilihan CEC yang berlangsung bersempena dengan Kongres Kebangsaan DAP ke-18 semalam, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke mengekalkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung bagi penggal 2025-2028.

Ia penggal kedua Loke menjawat jawatan berkenaan sejak mengambil alih daripada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 2022.

Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo dipilih sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan yang baharu menggantikan Lim.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pula dipilih sebagai Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan manakala Ahli Parlimen Kulai yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Naib Pengerusi DAP.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan