AM > BERITA

PM Anwar Arah PTPTN Bentang Cadangan Penambahbaikan, Tingkat Bayaran Balik

17/03/2025 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membentangkan cadangan penambahbaikan bagi mempertingkatkan kadar pembayaran balik tanpa membebankan peminjam, selepas Aidilfitri ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata beliau meneliti isu kadar pembayaran balik PTPTN yang masih rendah dan menyedari kepentingan memastikan kelestarian dana itu, agar generasi akan datang terus mendapat manfaatnya.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan mesyuarat bersama pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), untuk meneliti perkembangan sektor pendidikan tinggi negara.

“Antara isu utama dibincangkan ialah persiapan generasi masa depan dalam menerokai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan tumpuan kepada industri semikonduktor yang kian berkembang pesat,” katanya.

Perdana Menteri turut menghadiri Program Ihya Ramadan anjuran KPT dan mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi serta warga kementerian berkenaan hari ini.

Beliau juga berkesempatan mendengar tazkirah Ramadan disampaikan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim bertajuk ‘Maqasid al-Quran dan Masyarakat MADANI’, serta solat Zohor berjemaah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan