AM > BERITA

Program Ceria Syawal YKN Bawa Perkhidmatan Diperlukan Menjelang Aidilfitri

17/03/2025 03:29 PM

PUTRAJAYA, 17 Mac (Bernama) -- Program Ceria Syawal Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang memasuki hari ketiga hari ini dianjurkan bagi membawa perkhidmatan yang diperlukan menjelang sambutan Aidilfitri kepada warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKWM).

Bertempat di pekarangan KPKWM di sini, program berkenaan antara lain menyediakan perkhidmatan ubah suai pakaian, menggunting rambut, infak juadah berbuka, jualan produk dari penjara wanita dan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).

Pengarah Kanan Bahagian Pentadbiran dan Sumber Manusia YKN merangkap pengarah projek Program Ceria Syawal@KPWKM Mohd Azrazi Mohamad Aspar berkata program empat hari yang diadakan pada 13,14,17 dan 19 Mac itu bermula 10 pagi hingga 5 petang dan dikendalikan peserta yang pernah mendapat manfaat daripada YKN.

“Kalau makanan dan minuman (infak juadah) itu, kita gunakan khidmat anak-anak daripada Anjung Sinar dan kuih-muih yang dimasak adalah daripada hasilan produk Program Wanita Bangkit Bersasar (WBB). Maksudnya, produk peserta WBB, anak-anak Anjung Sinar akan masak dan kemudian kita agihkan sebagai juadah berbuka puasa.

“Untuk ubah suai pakaian, kita gunakan peserta Wanita Bangkit yang sebelum ini di bawah projek MyKasih Kapital,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Anjung Sinar merupakan sebuah pusat transit untuk belia berusia 18 tahun dan ke atas yang dibenarkan keluar daripada institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi tidak mempunyai ahli keluarga atau berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.

Sementara itu, program WBB bertujuan membantu bekas banduan wanita menjalani kehidupan lebih baik selepas tamat tempoh hukuman penjara.

Mohd Azrazi berkata Program Ceria Syawal itu memberi manfaat dua hala kepada peserta dari segi pendapatan dan keyakinan untuk menjalankan perniagaan dan kepada warga KPWKM khususnya untuk mendapatkan perkhidmatan setempat.

“Contohnya ada peserta untuk servis ubah suai pakaian sebelum ini kerja di kedai jahit dengan gaji RM2,500 (sebulan), tetapi di sini untuk dua hari sahaja beliau dah dapat RM1,000,” katanya.

Antara keistimewaan Program Ceria Syawal termasuk servis percuma bagi 10 orang terawal bagi perkhidmatan gunting rambut dan ubah suai pakaian dengan keutamaan diberikan kepada kakitangan kumpulan sokongan sahaja manakala yang lain dikenakan caj minimum.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan