KUCHING, 16 Mac (Bernama) -- Langkah Sarawak mengemas kini senarai penerima bantuan e-Kasih dijangka memberi kesan positif kepada kesejahteraan penduduk negeri itu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata walaupun bantuan e-Kasih bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya, namun penyenaraian semula itu wajar dilakukan kerana masih terdapat individu yang tidak tergolong dalam kategori miskin tetapi tersenarai sebagai penerima bantuan.
“Kita tidak mahu Sarawak dilabelkan sebagai negeri kaya tetapi rakyatnya miskin. Ini memberikan gambaran yang tidak tepat mengenai rakyat Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan.
“Kajian semula ini adalah langkah yang baik dan wajar bagi Sarawak kerana kerajaan negeri telah banyak memberikan faedah kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Juh Shopping Dengan Yayasan PEKEMA (Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia) Sarawak di sini, hari ini.
Nancy berharap isu ini dapat ditangani segera, sama ada di peringkat persekutuan atau kerajaan negeri, selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencapai sifar kemiskinan di Malaysia.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Nancy berkata program anjuran Yayasan PEKEMA Sarawak bukan sekadar menyalurkan bantuan, tetapi juga bertujuan memastikan anak-anak asnaf dapat merasai kegembiraan menyambut Hari Raya.
Beliau berkata seramai 150 anak asnaf terpilih menerima bantuan, dengan setiap seorang menerima baucar bernilai RM200 untuk membeli keperluan Hari Raya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial