AM > BERITA

Jualan MADANI Koperasi Tawar Potongan Harga 20 Peratus

17/03/2025 03:44 PM

MELAKA, 17 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka akan mengadakan Jualan MADANI Koperasi pada 25 Mac ini, yang menawarkan barangan keperluan untuk persediaan menyambut perayaan Aidilfitri dengan potongan 20 peratus daripada harga pasaran. 

Pengarah SKM Melaka Mustafa Kamal Mohd Nor berkata program yang akan diadakan di pekarangan Masjid Al-Alami di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu juga menempatkan lebih 20 produk keluaran Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad (Kogmas).

“Konsep ini juga sama seperti Jualan Rahmah MADANI untuk membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah dan berpatutan, sekali gus mengurangkan kos sara hidup.

“Selain itu, kita juga berkolaborasi dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi melaksanakan bazar Aidilfitri yang disertai usahawan dan koperasi sebagai satu sinergi dalam membantu mereka mempromosi dan meluaskan pasaran kepada orang ramai," katanya kepada pemberita di Kampung Padang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada program Lawatan Ziarah Kasih anjuran SKM Melaka bersama Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin.

Dalam pada itu, Mustafa berkata program berkenaan selaras dengan prinsip ketujuh Gerakan Koperasi iaitu mengambil berat terhadap masyarakat bagi menyantuni golongan asnaf dan menyampaikan sumbangan kepada mereka untuk menyambut hari lebaran.

Beliau berkata sepuluh keluarga dipilih pada tahun ini melibatkan penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang dan Pantai Kundor.

Sementara itu, seorang penerima Mohd Azman Salim, 59, berkata beliau berterima kasih atas sumbangan yang diberikan itu kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban bagi membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan