AM > BERITA

Pelakon Veteran Luah Rasa Syukur Terima Sumbangan ‘Raya Sama-sama’

17/03/2025 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Pelakon veteran Margaret Gan meluahkan rasa syukur apabila menjadi antara 50 penerima sumbangan dalam majlis “Raya Sama-Sama” yang berlangsung di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), hari ini.

Majlis itu anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Margaret, 82, berkata bantuan yang diterimanya hari ini merupakan rezeki tidak disangka-sangka, apatah lagi sumbangan tersebut boleh membantunya membuat persedian menyambut Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Memang saya rasa sangat gembira dan ini masa yang tepat kita perlukan sumbangan ini. Saya sangat bersyukur sebab tahu sahajalah setiap kali puasa atau raya tiba banyak persiapan perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui Bernama selepas penyerahan sumbangan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Ekonomi Azlina Aziz dan Ketua Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Pengarah Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR) Roslan Ariffin serta Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS Datin Rozita Waty Ridzuan.

Sementara itu, penyanyi veteran Ayati Ahmad Tasrip, 66, yang turut menerima sumbangan berkata bantuan tersebut amat penting terutamanya kepada artis veteran yang sudah uzur.

“Peluang untuk kami dapat peluang (berlakon atau menyanyi) agak kurang, sebab sekarang ramai artis-artis baru, jadi dari segi untuk muncul di televisyen itu macam slot khas memang jarang ada, tapi Alhamdulillah masih ada yang ingat,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Khazanah Dari Malaya pada era 90-an.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia Sandakiah Azez berkata majlis tersebut merupakan satu penghargaan buat artis-artis veteran yang pernah mewarnai industri hiburan.

“Sumbangan ini sangat membantu, sebab persatuan bergantung sepenuhnya sumbangan daripada kerajaan, pihak luar, individu dan swasta, diharapkan tahun-tahun akan datang mungkin setiap tiga bulan akan ada sesuatu yang boleh disumbangkan kepada persatuan ini,” katanya.

“Raya Sama-Sama” merupakan inisiatif bagi memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan seramai 26 pengamal media serta warga industri seni, yang telah memberikan sumbangan untuk pembangunan industri media dan industri kreatif tanah air.

Penggiat seni veteran menerima sumbangan wang tunai daripada FINAS serta pakaian raya sumbangan Deco Guru Builder Sdn. Bhd. (DGB Studio), manakala pengamal media pula menerima sumbangan melalui Tabung Kasih@HAWANA.

Kesemua penerima turut menerima baucar beli-belah daripada Mydin dan Yayasan AEON Malaysia sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Terdahulu Fahmi mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia, selepas persatuan berkenaan memohon pertimbangan meneliti 10 perkara dikemukakan mereka, antaranya melibatkan peluang persembahan dalam acara terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan kemudahan rawatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan