AM > BERITA

Pembangunan Semula SMK Labuan Bernilai RM13.97 Juta Siap

17/03/2025 06:19 PM

LABUAN, 17 Mac (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyiapkan projek pembangunan semula SMK Labuan bernilai RM13.97 juta di bawah inisiatif naik taraf sekolah daif kerajaan.

Dimulakan pada 25 Okt 2022 dan siap 28 Feb lepas, projek itu melibatkan pembinaan bangunan baharu dan fasiliti tambahan bagi mempertingkatkan infrastruktur sekolah.

Penyerahan rasmi oleh Pengarah JKR Labuan Ir. Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah kepada Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yahya Ahmad Puteh berlangsung hari ini, disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Datuk Wan Hashim Wan Rahim.

Mohd Faizul berkata skop projek termasuklah merobohkan Blok C sedia ada dan membina blok akademik baharu dengan sembilan bilik darjah, bilik guru, dewan serba guna serta sistem mekanikal dan elektrik.

“Kerja-kerja luar seperti pelebaran dan naik taraf jalan juga telah dijalankan,” katanya pada majlis penyerahan di SMK Labuan di sini hari ini.

Mohd Faizul berkata projek itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan kualiti infrastruktur pendidikan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Menerusi usaha ini, JKR menyokong KPM dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selamat dan selesa untuk pelajar dan pendidik,” katanya sambil menambah projek berkenaan selari dengan strategi kerajaan bagi menangani isu sekolah usang dan meningkatkan kemudahan pendidikan di seluruh negara termasuk di Labuan.

Beliau turut berharap dengan infrastruktur baharu itu, dapat meningkatkan motivasi dan prestasi pelajar di samping memupuk pembangunan pendidikan yang mampan untuk generasi akan datang. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan