AM > BERITA

Jangan Buat Andaian Rundingan Gas Petronas-Petros - TPM Fadillah

17/03/2025 07:32 PM

KUCHING, 17 Mac (Bernama) -- Pihak yang tidak terlibat dalam rundingan di antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berhubung pengedaran gas di negeri ini diminta tidak membuat sebarang andaian berhubung perkara berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau mahu rundingan di antara kedua-dua syarikat minyak dan gas itu berjalan dengan baik serta membawa manfaat kepada Sarawak dan negara.

“Orang yang tidak tahu apa yang berlaku dalam lingkungan perbincangan seeloknya jangan membuat andaian. Yang pasti, semua melihat kepada kepentingan negara dan pada masa yang sama kepentingan Sarawak juga perlu diimbangi.

“Apa sahaja pembangunan kalau Sarawak mendapat manfaat, pastinya Kerajaan Persekutuan pun akan dapat sebab cukai pun akan dibayar kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Bazar Ramadan di Matang Jaya dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan Petronas dan Petros berhubung hak pengedaran gas di Sarawak.

Petronas dalam kenyataan Sabtu lepas memaklumkan syarikat itu sedang bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak serta Petros berhubung butiran peranan masa depan Petros sebagai agregator gas negeri.

Usaha ini, menurut Petronas, bertujuan untuk memastikan hak dan kepentingan semua pihak termasuk pelanggan akhir dan pelabur dipertimbangkan dengan sewajarnya.

“Pertimbangan yang paling utama akan diberikan untuk memastikan kepastian dalam iklim pelaburan,” kata syarikat minyak dan gas negara itu ketika mengulas pertanyaan Bernama berhubung sebuah laporan berita yang menyatakan sebaliknya berhubung kemajuan kerjasama antara Petronas dan Petros.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata Kerajaan Persekutuan akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak untuk memperincikan skop kerjasama antara Petronas dan Petros.

Beliau berkata perbincangan itu bertujuan untuk meneroka kerjasama yang akan dijalankan oleh kedua-dua syarikat melibatkan mana-mana projek baharu dalam apa jua bidang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan