AM > BERITA

KRT Kampung Baru Pasir Pekan Asah Bakat Usahawan Biskut Raya

19/03/2025 03:56 PM

PASIR MAS, 19 Mac (Bernama) -- Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Baru Pasir Pekan di Tumpat dipilih sebagai projek rintis bagi kursus pembuatan biskut raya di Kelantan pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kelantan Zarina Zakaria berkata kursus itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta cara membuat biskut raya dan menjana pendapatan sampingan melaluinya sekali gus meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

"Kursus ini melibatkan 22 peserta dari Kampung Baru Pasir Pekan di Tumpat yang berusia antara 26 hingga 62 tahun, terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah.

"Selepas sertai kursus ini, kita harap mereka dapat jual biskut raya kepada masyarakat setempat kerana produk ini pastinya mendapat permintaan yang tinggi terutama ketika musim perayaan Aidilfitri dan boleh menjana pendapatan lumayan," katanya kepada pemberita di Kolej Komuniti Pasir Mas di sini hari ini.

Beliau berkata kursus sehari itu turut mendapat kerjasama Kolej Komuniti Pasir Mas yang menyediakan tempat dan tenaga pengajar bagi memberi bimbingan daripada cara membuat tiga jenis biskut raya iaitu ‘Cornflakes Madu Biscoff’, ‘Bangkit Cheese’ dan ‘Chocolate Chip’ hingga kepada memasarkan produk.

Sementara itu, peserta Siti Shazwanie Azman Shah, 33, berkata dia bersama dengan ibu Siti Zaleha Abd Rahman, 54, dan adiknya Siti Nurshazrafienna Azman Shah, 28, menyertai kursus itu kerana berhasrat menjual biskut raya.

"Kami tidak pernah membuat biskut raya sebelum ini dan menyertai kursus ini kerana mahu belajar serta berhajat untuk menjualnya nanti. Kursus ini memang sangat bermanfaat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan