AM > BERITA

MAIS Salur RM11.7 Juta Bantu Operasi 27 Rumah Pemulihan Riqab

19/03/2025 09:49 PM

KLANG, 19 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini menyerahkan sumbangan  RM11.7 juta kepada 27 Rumah Pemulihan Riqab (RPR) menerusi Geran Bantuan Pemulihan Riqab bagi membantu kebajikan kumpulan asnaf itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS Tan Sri Hashim Meon berkata sumbangan berkenaan melibatkan kos program, pengurusan dan penjagaan Asnaf Riqab di kesemua RPR di bawah seliaan MAIS tahun ini.

Beliau berkata antara RPR tersebut ialah Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-Anak Tersisih Selangor (PAKATS), Rumah Sahabat, Rumah Perlindungan Darul Ukhuwah, Pertubuhan Insan Permata Disayangi (PINTAS) dan Rumah Perlindungan dan Bimbingan Wanita Bayt Rahmah.

"MAIS juga menyumbang sebanyak RM400,000 kepada 1,000 orang Asnaf Riqab di negeri ini bagi membantu mereka membuat persiapan awal menyambut Syawal," katanya ketika berucap dalam Majlis Tadarus dan Iftar Perdana RPR 2025 di sini hari ini.

Hashim berkata sumbangan menggunakan peruntukan zakat asnaf riqab itu juga bertujuan membantu asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan bagi menggalakkan mereka kembali ke pangkal jalan.

"MAIS berharap bantuan yang diberikan dapat digunakan sebaiknya terutama kepada pengusaha RPR bagi membantu rumah terbabit menjalankan tanggungjawab sosial bagi memastikan asnaf tersebut diberi perlindungan, pemulihan dan bimbingan yang sewajarnya," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan