AM > BERITA

YKAT Harap Pihak Berwajib Pertimbang PPR Untuk Artis Veteran

19/03/2025 10:34 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) berharap pihak berwajib mempertimbangkan penyediaan beberapa unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk artis veteran yang masih tidak memiliki kediaman tetap.

Pengerusi YKAT Datuk DJ Dave berkata tidak semua artis veteran berkemampuan meskipun suatu masa dulu mereka pernah mencipta nama dan menyumbang kepada perkembangan industri seni negara.

“Namun kini ada sebahagian mereka yang berdepan dengan kesukaran hidup...ada yang terpaksa menumpang bersama anak, ada yang hanya mampu menyewa bilik dan ada kehilangan punca pendapatan akibat masalah kesihatan sehingga tidak mampu memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis iftar dan sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000 sempena Hari Raya Aidilfitri kepada 13 artis veteran di sini, malam ini.

DJ Dave memaklumkan terdapat kira-kira 16 artis veteran yang terdiri daripada pelakon, penyanyi dan pemuzik masih menunggu jawapan untuk mendapatkan rumah PPR.

Katanya penyediaan rumah mampu milik untuk artis veteran bukan hanya soal kebajikan tetapi juga sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada negara.

Sejak penubuhannya 13 tahun lepas, YKAT telah membantu hampir 1,900 artis veteran termasuk melalui bantuan kewangan dan program sosial bagi meringankan beban golongan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan