KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berperanan menjadi pemudah cara dalam memastikan urusan perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang terletak di atas tanah swasta ke lokasi baharu diselesaikan dengan baik, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Beliau berkata selaku pihak yang diamanahkan oleh kerajaan, DBKL telah mengambil langkah proaktif untuk tampil membantu mencari jalan terbaik buat semua pihak terlibat.
“DBKL memberi jaminan bahawa setiap langkah yang sedang dan bakal diambil adalah selaras dengan prinsip kebebasan beragama seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas melawat kuil berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti lokasi baharu kuil berkenaan dan proses pemindahan akan dilakukan secara telus dan adil, membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
“DBKL telah mengenal pasti lokasi baharu untuk pemindahan rumah ibadat terlibat bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni,” katanya.
Maimunah berkata DBKL mengambil maklum cadangan pembinaan sebuah masjid di atas tanah milik sebuah syarikat swasta yang terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur iaitu lokasi sama terletak sebahagian kecil kuil berkenaan.
Beliau berkata projek itu juga merupakan cadangan oleh syarikat swasta berkenaan selaku pemilik tanah yang sah dan bukan daripada pihak kerajaan.
Ditanya mengenai jangkaan tempoh masa untuk proses pemindahan rumah ibadat itu, Maimunah berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan.
“Kita akan ambil masa, dan akan mendapatkan lokasi yang dipersetujui oleh dua pihak,” katanya.
Maimunah dalam pada itu turut menyeru kepada semua pihak untuk terus mengekalkan keharmonian serta menghormati kepelbagaian agama di negara ini.
Sementara itu Pengerusi Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman K Barthiban berkata pihaknya bersedia memberi kerjasama dalam perbincangan dengan pihak DBKL berhubung proses pemindahan rumah ibadat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial