EKONOMI > BERITA

IOI PROPERTIES PERKENAL BANGI FRESCO, TINGKATKAN GAYA HIDUP DI LEMBAH KLANG SELATAN

20/03/2025 09:04 PM

BANGI, 20 Mac (Bernama) -- IOI Properties Group Bhd (IOIPG) memperkenalkan Bangi Fresco, evolusi seterusnya bagi perbandaran Bandar Puteri Bangi yang terkenal, sekali gus meningkatkan lagi landskap gaya hidup di Lembah Klang Selatan dengan hab runcit baharu yang dinamik.

Bangi Fresco, berkeluasan 4.98 hektar, menampilkan ruang runcit terancang 100,000 kaki persegi dengan 24 unit kedai, lima kedai makan pinggir air, empat kedai pandu lalu, dan ruang pengusaha pasar raya 19,000 kaki persegi yang terancang.

Lokasi itu juga akan menempatkan dewan acara seluas 10,000 kaki persegi dan pusat sukan, sekali gus menawarkan destinasi gaya hidup sehenti dan keperluan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan IOIPG Teh Chin Guan berkata Bangi Fresco menyusuli kejayaan pusat beli-belah jalanan Sierra Fresco di 16 Sierra, Puchong Selatan.

“Bangi Fresco, yang memenuhi pertambahan penduduk Bandar Puteri Bangi dan komuniti sekitarnya, menawarkan rangkaian lengkap kemudahan runcit dan gaya hidup.

“Hab runcit ini akan dimiliki oleh IOIPG dan diuruskan oleh pasukan pajakan kami yang memenangi anugerah,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Bangi Fresco di sini, hari ini.

Beliau berkata Bangi Fresco direka untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pilihan tempat makan gaya hidup mewah dan runcit di kawasan itu, yang kini didominasi oleh tawaran kelas pertengahan.

“Kami melabur lebih RM30 juta untuk mencipta pengalaman pusat beli-belah jalanan yang dikurasi, menggabungkan ruang runcit terbuka berbumbung yang menggalakkan pencahayaan semula jadi, pengudaraan, aliran dan mesra pejalan kaki.

“Walaupun perbincangan masih diteruskan, kami menyasarkan pasar raya kelas atas, gimnasium gaya hidup dan pengendali ruang acara untuk mengukuhkan campuran penyewa kami, dengan sasaran penghunian penuh apabila siap,” katanya.

Bangi Fresco, yang terletak bersebelahan IOI Galleria @ Bandar Puteri Bangi di sepanjang Jalan Mahkota 1, akan menampilkan pelbagai akses melalui Laman Puteri 1, Laman Puteri 2 dan Persiaran Mahkota 1.

Dengan lebih 350 tempat letak kereta, hab itu direka untuk menampung acara komuniti berskala besar dan pengunjung tetap.

Projek itu dijadualkan siap pada suku ketiga 2026.

Ketua Pajakan (Runcit) di IOI City Mall Aileen Goh berkata Bangi Fresco berada di peringkat akhir untuk mendapatkan penyewa utama.

“Kami sedang memuktamadkan perjanjian dengan sebuah pasar raya dan pusat kecergasan. Kami juga berhasrat memperkenalkan konsep makanan unik baharu bagi kawasan ini untuk dewan acara.

“Cawangan pandu lalu juga merupakan tarikan utama memandangkan lokasi utama," katanya sambil menekankan bahawa  Bangi Fresco direka sebagai ruang komuniti.

Dengan permintaan pasaran yang kukuh dan perancangan strategik, IOIPG meletakkan Bangi Fresco sebagai hab gaya hidup dan runcit transformatif, mengukuhkan komitmennya terhadap pembangunan perbandaran holistik.

Ditanya mengenai prospek syarikat, Teh berkata IOIPG sedang bersedia untuk pengembangan selanjutnya di Malaysia dan Singapura.

“Kami berada di landasan untuk segmen Malaysia dan akan melancarkan projek kondominium di Singapura tidak lama lagi,” katanya.

Bagi suku kedua untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2025, IOIPG melaporkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM94.78 juta berbanding RM121.50 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, perolehan meningkat kepada RM729 juta daripada RM606.90 juta, dipacu oleh prestasi pelaburan hartanah dan hospitaliti yang kukuh.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, keuntungan bersih berjumlah RM163.95 juta, turun daripada RM295.94 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2024, manakala perolehan meningkat kepada RM1.42 bilion daripada RM1.25 bilion.

Sementara itu, dari segi domestik, Pengurus Besar bagi Bangi dan Sepang Wong Peen Fook berkata akan ada pelancaran akan datang di Bandar Puteri Bangi, yang merangkumi 18 unit kedai berkembar dalam tempoh tahun kewangan ini.

“Kami masih mempunyai kira-kira 80.94 hektar tanah di Bandar Puteri Bangi untuk pembangunan masa depan.

“Kami akan terus memperkenalkan produk baharu berdasarkan permintaan pasaran. Pasaran hartanah sedang berkembang, dan kami perlu menyesuai untuk memenuhi aliran pendapatan semasa dan pilihan pembeli,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan