KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Beberapa syarikat dan ahli korporat tampil memberi sumbangan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersempena dengan Aidilfitri sebagai tanda penghargaan kepada peranan ATM dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sumbangan dengan nilai terkumpul lebih RM1.96 juta itu disampaikan oleh 74 penyumbang dalam bentuk kewangan dan barangan.
"Sumbangan kewangan diterima sebanyak RM1,777,500, dan RM178,920 dalam bentuk barangan, secara keseluruhan menjadikan jumlah sumbangan bernilai RM1,956,429," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada ATM di Auditorium Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata daripada sumbangan itu, ATM menyediakan 15,000 beg hari raya untuk diagihkan kepada anggota ATM yang menjalankan tugas sama ada di perbatasan tanah air, perairan negara, ruang udara serta dalam misi keamanan antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata sumbangan itu merupakan tanda penghargaan dan ingatan kepada wira negara yang sentiasa komited menjalankan amanah dengan penuh dedikasi, meskipun terpaksa berjauhan daripada keluarga dan suasana lebaran.
Katanya, sumbangan daripada sektor korporat dan orang ramai bukan sahaja meringankan beban anggota yang bertugas, tetapi turut mencerminkan solidariti nasional dalam memperkukuh pertahanan negara.
"Sangat penting untuk kita semua menzahirkan ingatan, sokongan serta penghargaan kepada semua anggota yang bertugas pada hari lebaran nanti.
“Kita percaya sumbangan tulus ikhlas ini memberi erti yang besar dan turut membawa makna bahawa segala pengorbanan warga ATM kepada negara tidak pernah dilupakan apatah lagi dinafikan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial