AM > BERITA

SPRM Sambung Rakam Keterangan Ismail Sabri Pada Isnin

20/03/2025 06:02 PM

PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) -- Proses merakam keterangan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau disambung Isnin depan.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahli Parlimen Bera itu perlu hadir semula ke Ibu Pejabat SPRM pada 10 pagi, 24 Mac untuk menyambung sesi berkenaan.

Terdahulu, kenderaan yang membawa Perdana Menteri kesembilan itu dilihat keluar dari bangunan SPRM pada 2.51 petang tadi setelah hampir lima jam memberi keterangan.

Ditanya sama ada beliau akan hadir semula esok bagi menyambung proses merakam keterangan, Ismail Sabri secara ringkas berkata: “Cuti, cuti”.

Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ismail Sabri tiba di bangunan SPRM di sini pada 9.54 pagi tadi dan kehadiran beliau merupakan kali keenam bagi tujuan memberi keterangan.

Isnin lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan terhadap Ismail Sabri berdasarkan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya dengan terdapat banyak lagi perkara yang perlu disoal kepada bekas perdana menteri itu.

Pada 3 Mac, Azam dilaporkan berkata Ahli Parlimen Bera itu ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah rumah, hasil serbuan SPRM.

-- BERNAMA 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan