KOTA BHARU, 20 Mac (Bernama) -- Kuih jala mas Kelantan yang satu ketika dahulu hanya terhidang di istana dan rumah bangsawan, kini boleh dinikmati segenap lapisan masyarakat, namun keeksklusifan hidangan itu tetap utuh, seperti emas yang tidak pudar sinarnya.
Kuih tradisional yang dihasilkan menggunakan kuning telur sehingga menjadi lembaran tipis berwarna keemasan dalam sirap gula yang pekat itu bukan sekadar manisan, tetapi juga satu simbol keagungan warisan yang perlu terus dipelihara.
Pengusaha kuih jala mas, Nik Azina Nik Abdullah, 59, yang lebih dua dekad mempertahankan legasi perniagaan keluarganya itu berkata dia mempelajari cara penghasilan kuih berkenaan melalui Allahyarham neneknya Nik Fatimah Nik Him sejak kecil lagi.
"Rumah nenek dulu dekat dengan istana dan sultan ketika itu sering menempah kuih ini untuk santapan diraja. Kata nenek, dulu hanya golongan berada yang mampu membelinya," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Selepas neneknya meninggal dunia, ibunya Nik Meriam Nik Omar pula meneruskan warisan itu sebelum disambung Nik Azina dan dua abangnya sejak 2016.
Pencapaian membanggakan Nik Azina adalah apabila kuih jala mas keluaran mereka mendapat tempahan daripada syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan menjadi antara hidangan pencuci mulut di meja santapan kerabat diraja Pahang bersempena dengan perkahwinan anakanda Sultan Pahang tahun lepas.
"Ia kejayaan terbesar saya sebagai pengusaha kuih tradisional, juadah itu bukan sekadar rezeki, tetapi juga satu penghormatan dan pengiktirafan terhadap warisan keluarga kami," katanya yang mula mengajar anak saudaranya membuat kuih itu agar warisan perniagaan tidak pupus.
Memasuki bulan Ramadan, permintaan terhadap kuih jala mas melonjak dengan mendadak sehingga Nik Azina dan pasukannya menggunakan kira-kira 5,000 biji telur untuk menghasilkan kuih itu selain kuih tradisional lain, seperti bunga tanjung, tahi itik, pauh dilayang dan mas jemput.
"Setiap hari pelanggan beratur di hadapan kedai, dalam masa beberapa jam sahaja kuih habis terjual," katanya yang menjual pada harga RM5 hingga RM12, bergantung pada kuantiti.
Nik Azina berkata walaupun kuih jala mas boleh didapati di negeri lain, seperti Terengganu dan Pahang, resipi dan teknik penyediaan di Kelantan mempunyai keistimewaan tersendiri.
"Walaupun nampak sama, rasa tetap berbeza. Jala Mas Kelantan ada sentuhan rahsia yang diwarisi turun-temurun, di kedai saya, ia produk signature yang paling laris," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial