KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Sebanyak tujuh syarikat tempatan dibawa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyertai Pasaran TV & Filem Antarabangsa Hong Kong (FILMART) 2025 yang membuka tirai Isnin lepas.
Finas menerusi hantaran di Facebook memaklumkan penglibatan Malaysia yang diketuai Ketua Pengarahnya Datuk Azmir Saifuddin Mutalib bertujuan memasarkan produk kandungan tempatan, perkhidmatan dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi perfileman di rantau Asia dengan penawaran Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI).
“Pada hari pertama pembukaan FILMART, FINAS telah bertemu dan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan antaranya Agensi Pembangunan Kreatif dan Kebudayaan (CCIDA) Hong Kong bagi meneroka potensi kerjasama dana produksi bersama antara Malaysia dan Hong Kong.
“Selain itu, FINAS turut mengadakan pertemuan dengan Majlis Filem Korea (KOFIC) bagi memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) kedua-dua agensi yang disasar akan ditandatangani Julai depan,” menurut hantaran itu.
FINAS memaklumkan pada hari berkenaan juga menyaksikan pertemuan turut diadakan dengan Pembangunan Pawagam dan Penyebaran Budaya Kementerian Kebudayaan dan Seni Halus, Kemboja bagi meneroka peluang kerjasama dalam memasarkan kandungan kreatif tempatan ke negara berkenaan.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan FINAS memaklumkan semasa berlangsungnya FILMART 2025 itu, Azmir Saifuddin turut berkesempatan mengadakan pertemuan dan perbincangan dua hala bersama Menteri Kebudayaan Indonesia Dr Fadli Zon dan Pengerusi Lai Sun Group Dr Peter Lam.
Melalui sesi pertemuan berkenaan beberapa perkara telah dibincangkan antaranya perancangan pengisian sempena Sidang Kemuncak Filem ASEAN yang dijangka diadakan di Kuala Lumpur pada pertengahan tahun ini.
Turut dibincangkan projek kerjasama antara Malaysia dan Indonesia, kerjasama penerbitan antara produksi Malaysia dan Hong Kong, usaha mempromosikan sektor pelancongan menerusi penerbitan kandungan kreatif dan meneroka trend penerbitan drama mikro.
FILMART 2025 berlangsung dari 17 Mac hingga hari ini dengan kehadiran lebih 7,500 peserta terdiri daripada penerbit, pengarah, pelabur dan badan perfileman dari pelbagai negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial