KOTA KINABALU, 20 Mac (Bernama) -- Jalan Keningau-Kimanis yang ditutup sejak awal bulan ini akibat tanah runtuh di Kilometer (KM) 14.3 dan KM11.2 dijangka dibuka semula dalam masa terdekat.
Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan memaklumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sendiri telah meninjau lokasi kejadian itu dan melihat sendiri kerja-kerja membersihkan runtuhan itu petang tadi.
Dalam tinjauan itu, Hajiji turut diberi taklimat oleh Pengarah Kerja Raya Sabah Datuk Philemon Lajawai berkaitan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan cerun yang dilakukan.
“Pada masa ini kerja pembersihan jalan dan pembaikan cerun runtuh lokasi berkenaan kini hampir siap sepenuhnya dan difahamkan laluan itu akan dibuka dalam masa terdekat ini. Bagaimanapun ia tertakluk kepada keadaan cuaca semasa,” menurut kenyataan itu.
Ketua Menteri melakukan tinjauan itu ketika dalam perjalanan ke Keningau untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Kim Teck Cheong Consolidation Berhad di Kompleks Sukan Keningau.
KM14.3 Jalan Keningau-Kimanis ditutup pada 4 Mac manakala KM11.2 ditutup pada 8 Mac akibat tanah runtuh yang menyebabkan jalan itu tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.
Jalan Keningau-Kimanis merupakan antara jalan utama yang antara lain menghubungkan Kota Kinabalu dengan kawasan pedalaman seperti Keningau serta Tenom.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial