AM > BERITA

Bazar Ramadan Perkenal Sistem Tanpa Tunai Mudahkan Peniaga Dan Pembeli -- Fadillah

20/03/2025 08:30 PM

PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) -- Sistem pembayaran tanpa tunai atau cashless di Bazar Ramadan Putrajaya menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah mesra pengguna serta memberikan kemudahan kepada peniaga dan pembeli.

Beliau berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja memudahkan pembeli dan peniaga tetapi juga membantu mempercepat proses transaksi, mengurangkan risiko kecurian dan menjadikan bazar lebih tersusun.

“Cara bayaran menggunakan sistem tanpa tunai ini lebih baik dan lebih mudah, kuranglah transaksi kewangan secara tunai," katanya kepada media di Majlis Pelancaran Program Imbas Kod QR dan Bayar (Cashless) di Bazar Ramadan Presint 14 dan Presint 11 di sini hari ini.

Fadillah berkata beliau diundang oleh satu daripada bazar Ramadan, iaitu terdapat beberapa bazar di sini yang dikendalikan pihak berbeza iaitu Perbadanan Putrajaya, persatuan penduduk dan juga pihak swasta.

Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadlun Mak Ujud.

Sementara itu, majlis hari ini menyaksikan penajaan kanopi, apron dan topi kepada semua peniaga daripada MAE bersama-sama Maybank Islamic dan Paynet.

MAE turut menawarkan promosi pulangan tunai RM2 kepada pembeli yang membuat transaksi menggunakan kod QR MAE di mana-mana peniaga di bazar Presint 14 dan 11, Bazar Ramadan Taman Melawati, Tasik Tambahan, AU2 dan Belatuk.

MAE juga akan memberikan insentif ‘DUIT RAYA’ kepada peniaga yang membuat jumlah transaksi terbanyak manakala pihak Petronas Gas telah menaja dua tong gas kepada setiap penjaja selain apron.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan