KOTA KINABALU, 20 Mac (Bernama) -- Seramai 13,550 pelajar menerima manfaat daripada tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) sejak 2021 hingga tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata kerajaan negeri terus menambah dana untuk BKNS sehingga mencatat jumlah tertinggi iaitu RM128 juta pada tahun ini berbanding 2020 iaitu RM50 juta sebelum dinaikkan kepada RM55 juta pada 2021, RM101 juta (2023) dan RM113 juta bagi 2024.
"Pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan diteruskan tahun ini selain ditambah baik untuk membantu pelajar secara keseluruhannya," menurut Hajiji dalam kenyataan sempena Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa-Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Bersama Ketua Menteri di Kuala Lumpur hari ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Ariffin Arif hadir mewakili beliau pada majlis itu.
Hajiji, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS), berkata Tabung Pendidikan Negeri Sabah yang dilancarkan pada 2022 turut memanfaatkan 7,483 pelajar golongan B40 yang tidak mendapat tajaan melibatkan peruntukan sebanyak RM8.6 juta.
Beliau berkata kerajaan negeri juga memberi bantuan lain iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT sebanyak RM2,000 kepada pelajar di peringkat ijazah dan RM1,500 kepada pelajar di peringkat diploma atau matrikulasi, Bantuan Khas Peperiksaan iaitu RM200 kepada mereka yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia.
Selain itu, Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri dan subsidi Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah kepada semua pelajar IPT awam serta swasta yang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Hajiji berkata menerusi komitmen Kumpulan YS, dana pendidikan meningkat kepada RM67.17 juta pada 2024 berbanding RM36.04 juta bagi 2021 sekali gus membolehkan 3,234 pelajar mendapat manfaat pada tahun lepas.
Beliau berkata Kumpulan YS turut menawarkan pelbagai jenis tajaan seperti Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Biasiswa Cemerlang Pelajar Luar Bandar, Biasiswa IPT awam, Biasiswa IPT swasta, Dermasiswa serta Pinjaman Pengajian Tinggi selain menyediakan prasarana pendidikan melalui Kolej Teknologi dan Kolej Universiti Yayasan Sabah.
Hajiji berkata usaha sama antara badan penaja juga dipergiat melalui Portal Pendidikan Negeri bagi memudahkan anak-anak Sabah memohon tajaan pendidikan melibatkan badan lain seperti Majlis Ugama Islam Sabah, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah dan Yayasan Kebajikan Sabah.
Beliau berkata kerajaan turut memperkenalkan Felo Sabah Maju Jaya dan Dewan Belia Sabah yang bermatlamat memperkasakan bakat serta keupayaan anak muda di samping mengetengahkan kepimpinan baharu di negeri itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial