TAWAU, 21 Mac (Bernama) -- Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) yang diperkenalkan di Bazar Ramadan Rahmah pada tahun ini mendapat sambutan menggalakkan, dan sehingga kini 159,720 pengguna di seluruh negara menerima manfaat e-dompet RM20.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata insentif tanpa tunai itu membantu melegakan perbelanjaan berbuka puasa keluarga, sekali gus menggalakkan penggunaan bayaran tanpa tunai di Bazar Ramadan Rahmah.
“Insentif tanpa tunai ini mendapat sambutan amat baik sebab kita tengok lebih 159,000 pengunjung ke Bazar Ramadan Rahmah mendapat manfaat daripada ReDI ini. Ini satu jumlah yang besar dan jumlah yang menerima manfaat ini dijangka meningkat menjelang akhir Ramadan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Rahmah di Sabindo Plaza di sini hari ini.
Beliau berkata pemberian e-dompet itu antara usaha kementerian untuk memperkasakan Bazar Ramadan Rahmah iaitu Menu Rahmah RM5 serta pelaksanaan MySaveFood.
Dalam pada itu, Fuziah berkata terdapat 95 Bazar Ramadan Rahmah membabitkan 2,063 peniaga menawarkan Menu Rahmah di seluruh negara termasuk 13 bazar membabitkan 122 peniaga di Sabah.
Mengenai pelaksanaan MySaveFood pula, beliau berkata 57,991 kilogram makanan di Bazar Ramadan Rahmah berjaya diselamatkan dalam tempoh 20 hari bazar itu beroperasi di seluruh negara.
“Pihak kita berusaha menangani pembaziran makanan dengan menyelamatkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan, antara kerjasama dengan Gerakan Pengguna Siswa di Tawau ada sukarelawan dari tiga institusi pengajian iaitu Institut Pendidikan Guru, Kolej Komuniti serta Politeknik.
“Jadi mereka bergilir-gilir bertugas di Bazar Ramadan Rahmah ini, mereka menyelamatkan makanan dan minuman, timbang dan bawa balik ke kolej mereka. Sehingga semalam, mereka berjaya menyelamatkan 400 kilogram makanan di Bazar Ramadan Rahmah di sini,” katanya.
Sementara itu, Fuziah berkata setakat hari ini Ops Pantau melaksanakan 51,266 pemeriksaan di seluruh negara membabitkan 274 kes serta 1,128 aduan direkodkan, selain 262 kompaun berjumlah RM59,500 dikeluarkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial