AM > BERITA

1,190 Mangsa Banjir Ditempatkan Di 10 PPS Di Sabah

20/03/2025 10:13 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Seramai 1,190 mangsa daripada 367 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah susulan banjir yang melanda enam daerah di negeri itu, setakat 8 malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan seramai 912 orang daripada 290 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Kota Marudu dan 132 orang daripada 32  keluarga dipindahkan ke dua PPS di Sandakan.

Menurut kenyataan itu seramai 92 orang daripada 26 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Beluran, 33 orang daripada 10 keluarga di dua PPS di Paitan, 11 orang daripada tiga keluarga di satu PPS di Matunggong dan 10 orang daripada enam keluarga juga di satu PPS di Pitas.

“Sebanyak 14 kampung terjejas iaitu lima di Kota Marudu, masing-masing dua di Sandakan,  Beluran, Paitan dan Matunggong serta satu kampung di Pitas,” menurut jawatankuasa itu.

Sementara itu di Johor, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 3,694 orang sehingga 8 malam ini, berbanding 2,550 orang yang direkodkan petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 917 keluarga itu ditempatkan di 84 PPS yang beroperasi di lima daerah terjejas.

Beliau berkata daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,288 orang diikuti Kota Tinggi (733), Pontian (688), Kulai (506) dan Kluang pula 479 orang.

“Terdapat sembilan sungai dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu stesen Sungai Lenik di Ladang Chaah dengan bacaan 6.13 meter (m), Batu Pahat; Sungai Kahang di Kampung Contoh (15.37m), Kluang; Sungai Siam di Kampung Sungai Siam (22.65m) dan Sungai Siku di Kampung Murni Jaya (18.71m), Kulai.

“Selain itu, Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai (3.82m), Pontian; Sungai Skudai di Kampung Laut (5.13m), Parit Keliling di Kampung Pasir (1.38m) dan Sungai Tiram di Kampung Bukit Dagang (5.04m), Johor Bahru; serta Sungai Paya Dato di Mersing (2m),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, dua jalan di Kota Tinggi iaitu Jalan Lukut Cina (Taman Aman) dan Jalan Mawai Lama (sebelum Rumah Burung) telah ditutup kepada semua jenis kenderaan susulan arus deras.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan