AM > BERITA

Program NUR@PETRA Galak Amalan Cekap Tenaga - SEDA

21/03/2025 10:15 AM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Susulan sambutan hangat terhadap program SAVE 4.0 yang dilaksanakan pada tahun lepas, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada tahun ini memperkenalkan Program NUR@PETRA.

Ketua Pegawai Operasi SEDA Koh Keng Sen berkata inisiatif e-Rebat itu dijenamakan semula daripada SAVE 4.0, yang sebelum ini hanya terhad kepada pengguna domestik.

“Program NUR@PETRA ini sebenarnya bukan program baharu, ia dijenamakan semula daripada program SAVE 4.0. Jika dahulu, SAVE 4.0 hanya untuk domestik, tetapi untuk NUR@PETRA kita memberi e-Rebat kepada pengguna domestik, PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana), komersial dan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini malam tadi.

Program SAVE 4.0 yang dilaksanakan bermula pada Dis 2023 hingga Dis 2024, memberikan e-rebat hingga RM400 bagi pembelian penyaman udara dan peti sejuk untuk membantu pengguna mengurangkan kos pembe­lian kelengkapan elektrik yang berlabel 4 dan 5 bintang.

Pemberian rebat  yang dibiayai oleh Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) dengan melibatkan peruntukan RM50 juta itu, merupakan langkah kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai pengguna membeli dan menggunakan peralatan yang menjimatkan tenaga.

Mengulas lanjut, Koh berkata inisiatif yang dilaksanakan itu juga dapat membantu mengurangkan kos kepada pengguna bagi membeli peralatan elektrik cekap tenaga dan pada masa yang sama, bil elektrik juga menjadi lebih rendah disebabkan penjimatan tenaga.

“Dari segi kelestarian alam sekitar, dengan kurangnya penggunaan tenaga elektrik, kita kurangkan pelepasan karbon ke udara dan ia juga dapat menggalakkan amalan cekap tenaga yang dapat membantu  mengurangkan tenaga, pelepasan karbon dan pencemaran udara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan dan Fasilitasi Teknikal SEDA Steve Anthony Lojuntin berkata Program NUR@PETRA yang mula dilaksanakan pada awal tahun ini terbahagi kepada tiga kategori, iaitu NUR:DOMESTIK, NUR:PMKS dan NUR:CHILLER.

NUR:DOMESTIK memberikan e-Rebat hingga RM400 kepada isi rumah bagi pembelian peralatan elektrik berlabel 4 dan 5 bintang cekap tenaga; NUR:PMKS pula menawarkan e-Rebat hingga RM4,000 kepada PMKS bagi pembelian peralatan elektrik yang sama manakala NUR:CHILLER menyediakan e-Rebat hingga RM75,000 kepada pengguna industri dan komersial bagi pembelian sistem penyejukan cekap tenaga.

“Bagi kategori NUR:DOMESTIK, kaedah permohonannya sangat mudah, pemohon hanya perlu membawa bil elektrik dan kad pengenalan ke kedai ataupun platform e-dagang yang mengambil bahagian untuk menyemak kelayakan mereka.

“Bagi PMKS pula, syarikat berkenaan perlu memohon melalui sistem kami dan mereka perlu berdaftar dengan SMECorp. Selain itu, mereka perlu mempunyai pendaftaran syarikat dan menggunakan bekalan elektrik komersial,” katanya sambil menambah program itu akan berlangsung hingga 31 Dis tahun ini.

Beliau berkata setakat ini, terdapat sebanyak 1,377 kedai di seluruh negara telah berdaftar untuk menyertai program berkenaan.

“Jika sesiapa berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kedai berdaftar, boleh ke laman sesawang SEDA Malaysia www.seda.goy.my/nur, pengguna boleh terus ke kedai itu untuk menebus rebat ini,” katanya yang turut menjadi tetamu program Ruang Bicara itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan