Oleh Kenny Teng
PATTANI, 29 Mac (Bernama) -- Tarikh melihat anak bulan Syawal di Thailand ditetapkan pada petang 30 Mac di 40 wilayah seluruh negara, menurut penasihat kepada Sheikhul Islam di Pattani, Wae Deramae Mamingchik.
Wae Deramae, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, menjelaskan bahawa terdapat 40 wilayah di Thailand yang mempunyai pejabat Hal Ehwal Agama Islam.
“Sheikhul Islam Thailand telah mengarahkan Majlis Agama Islam di 40 wilayah supaya melaksanakan cerapan anak bulan pada 30 Mac. Sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam, saya telah menerima arahan tersebut dan membuat persiapan untuk cerapan anak bulan di seluruh Thailand.
“Jika anak bulan kelihatan esok (30 Mac), maka 1 Syawal akan jatuh pada 31 Mac. Namun, jika tidak kelihatan, 1 Syawal akan bermula pada 1 April,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.
Wae Deramae turut memaklumkan bahawa Thailand mempunyai kira-kira 10 juta penduduk beragama Islam, dengan majoritinya menetap di wilayah selatan seperti Pattani, Yala dan Narathiwat.
Beliau menambah, pengumuman rasmi tarikh 1 Syawal akan dibuat oleh Sheikhul Islam Thailand, Arun Boonchom, melalui siaran televisyen dan radio pada petang esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial